BERITA UTAMA

AMK Kedah bidas kenyataan Abdul Hadi, ikrar pertahan Raja-Raja Melayu

SUNGAI PETANI – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah akan terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dari diserang anasir yang hanya mengejar kepentingan politik.

Ketuanya, Dr. Taufiq Johari berkata, kebiadapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoal peranan Raja-Raja Melayu dalam nukilan ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang disiarkan lidah rasmi parti itu jelas menyinggung Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Kata beliau, tulisan dalam Minda Presiden itu menyatakan, “bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja”, seolah memberi gambaran Raja-Raja Melayu berdiam diri dalam memartabatkan institusi syariah serta agama Islam.

“Kenyataan ini sangat dangkal dan jika Abdul Hadi hendak merujuk kepada kes Nik Elin, beliau harus tahu MKI telahpun memperhalusi isu ini menurut hemat Sultan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

“Isu ini turut diterangkan dengan jelas pada 27 Februari lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Pas), namun Tan Sri Abdul Hadi tidak hadir ke sidang tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Oleh itu, Taufiq menyeru Abdul Hadi bertanya dahulu kepada setiausaha partinya sebelum mengeluarkan kenyataan melulu agar tidak keliru dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan orang awam.

Kata beliau, perbuatan pemimpin Pas itu bukanlah kali pertama mengundang dukacita Raja-Raja Melayu.

“Kita lihat sebelum ini Menteri Besar Kedah yang menyinggung Sultan Selangor. Begitu juga Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat sekali gus menyinggung Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah.

“Oleh itu, Pas perlu menginsafi segala kebiadaban ini dan memohon maaf secara terbuka,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *