EPISOD 9: Tam bukan sekadar anak kucing jalanan

SEMUANYA bermula dari sepasang mata seperti bait pertama lagu “Dari kerana mata” dendangan arwah R. Azmi. Hati Pak Long mula tertawan melihat mata seekor anak kucing hitam yang jernih, manja dan penuh penasaran seolah-olah minta dibelai dan dikasihi. Sepasang mata bersinar itu mengingatkan Pak Long pada guli kaca – ‘gajet’ yang sering penuhi poket seluar kanak-kanak sekolah rendah sekitar tahun 1960an. Begitulah cerah jernihnya mata si Tam. Pak Long memberi namanya Tam sebab bulunya hitam berkilat.

Pak Long dan keluarga terhibur dengan keletah Tam yang nakal. Semakin hari semakin sayang pada Tam walaupun ia nakal dan lompat sana sini. Pernah suatu malam Tam ke kamar Hafiz, anak bongsu Pak Long di tingkat atas. Ia kejutkan Hafiz yang sedang lena tidur untuk membukakan pintu supaya ia dapat keluar rumah. Agaknya Tam sudah penat bangunkan kami tapi kami tidak juga bangun; ia terpaksa kejutkan Hafiz pula.

Ada pula suatu malam semasa Pak Long sedang ralit membaca di Kamar Bacaan, terdengar bunyi ‘soksek-soksek’ di sebalik tudung tingkap. Pak Long sudah agak itu tentunya Tam. Tiba-tiba Tam melompat masuk dari tingkap Kamar Bacaan. Untung juga ketika itu Pak Long tidak tersentak menerima kepulangannya lewat tingkap yang masih terbuka. Begitulah Tam masuk dan keluar rumah ikut suka hatinya.

Satu ketika tatkala jam dinding menunjukkan waktu sudah hampir subuh. Melihat Tam tiada di tempat tidurnya bawah sofa, isteri Pak Long mulalah resah dan menanya Pak Long yang duduk di sofa “Tam belum pulang?”. “Belum. Kelab malamnya belum tutup”, jawabku selamba ringkas. Isteri Pak Long tersenyum-senyum. Kami suami isteri, akhirnya akur Tam juga punya kehidupannya sendiri; kehidupan seekor kucing luar yang tulen. Itu yang sering diulang isteriku. Ia bukan kucing rumah yang suka dikurung di dalam rumah. Kehidupannya sememangnya di luar rumah.

Pada suatu hari, Tam balik ke rumah dalam keadaan basah kuyup setelah beberapa hari ia tidak pulang. Seharian ia monyok dan tidak keluar rumah, isteri Pak Long mula risau melihat keadaannya yang tiba-tiba berubah. Pak Long dan isteri membawa Tam ke klinik haiwan yang berhampiran. Itulah permulaan cerita sedih kami bersama Tam. Kian hari ia semakin sakit, tidak bermaya dan tidak mahu menjamah makanan cuma minum air sekali sekala. Untuk memastikan Tam bertenaga, kami terpaksa suapkan ia makanan cecair (wet food) dengan menggunakan picagari.

Isteri Pak Long sangat risau melihat keadaan Tam persis kerisauan seorang ibu melihat anaknya yang sakit. Dalam hatiku biarlah Tam cepat sembuh. Untuk itu kami sudah tidak kisah tentang perbelanjaan rawatan Tam; kami berusaha untuk merawat Tam di beberapa klinik haiwan termasuk klinik homeopathy, demi ingin melihat kesihatannya pulih seperti sediakala. Akhirnya kami disarankan supaya mendapat rawatan di Fakulti Perubatan Veterinar UMK.

Selepas pemeriksaan, Tam dimasukkan ke wad untuk menjalani beberapa ujian dan X-ray. Selang dua hari, kami diberitahu hasil keputusan ujian yang membuat Pak Long dan isteri sangat sedih. Tam disahkan menghidap penyakit Parvo, sejenis penyakit yang tidak ada penawar. Pak Long dan isteri menerima berita malang itu dengan hati yang pilu. Isteri Pak Long tidak dapat membendung air matanya. Walaupun Tam hanya seekor kucing tetapi ia sangat dekat di hati kami.

Pak Long membawanya balik ke rumah dan keadaanya semakin kritikal. Sakitnya tidak dapat diubati lagi. Malam harinya, Pak Long dan isteri memutuskan untuk bergilir-gilir menemani Tam yang semakin tidak bermaya. Kami dapat merasakan Tam sedang menunggu saatnya untuk pergi. Kami sangat sedih, hati kami meruntun pilu melihat keadaannya. Dia masih memberi tindak balas bila kami memanggil namanya, masih mencuba sedaya upaya mengesot untuk ke tandas pasirnya untuk tidak menyusahkan kami.

Pada malam akhirnya, ia merenung wajah kami dan menjilat tangan isteri Pak Long. Pak Long cuba memberinya minuman dengan picagari tetapi ia menolak. Kami suami isteri tidur berdekatan dengan Tam. Dini malam itu, Pak Long terdengar suara Tam seperti tercekik dan Pak Long terus mengejutkan isteri Pak Long. Kami melihat Tam menghembuskan nafasnya terakhir di hadapan kami. Air mata kami berlinangan kerana kami amat sedih kehilangan Tam. Ia adalah sebahagian dari kehidupan kami.

Tam meninggalkan banyak kenangan untuk kami. Salah satu ialah Tam gemar panjat bumbung jiran tetapi ia tidak pandai untuk turun. Bukan sekali Tam buat begini tetapi beberapa kali juga. Pak Long tersenyum bila mengenang peristiwa itu. Pak Long mengakui pada masa itu, berderau juga darah Pak Long kerana malu mengganggu jiran.

Kini Tam sudah tiada, Pak Long dan isteri seakan trauma untuk memelihara kucing lagi. Pak Long mengakui ianya terlalu sakit bila kehilangan sesuatu mahluk yang kita sayangi. –  NasionalDaily – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *