KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November 2026 berhubung dakwaan genosid terhadap etnik Rohingya disifatkan sebagai kemenangan kemanusiaan dan keadilan buat mangsa yang sekian lama menuntut pembelaan terhadap penderitaan mereka.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan itu turut menjadi pengiktirafan terhadap perjuangan panjang masyarakat Rohingya dalam mendapatkan kebenaran serta menuntut pihak bertanggungjawab atas kekejaman yang dialami.
Menurutnya, perkembangan berkenaan bagaimanapun bukan pengakhiran kepada usaha mendapatkan keadilan, sebaliknya menandakan bermulanya fasa baharu yang menuntut tindakan dan komitmen serius daripada pihak berkuasa Myanmar.
Katanya, junta tentera Myanmar perlu menerima serta melaksanakan keputusan ICJ, selain memberikan jaminan konkrit bahawa pelarian Rohingya berpeluang kembali ke tanah air secara selamat, sukarela dan bermaruah.
“Jaminan itu mesti disertai perlindungan daripada sebarang bentuk penganiayaan, selain memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang terjamin dengan hak asasi manusia dihormati,” katanya dalam kenyataan media.
Mujahid berkata, beliau turut menyokong pendirian rasmi Malaysia bahawa penyelesaian berkekalan terhadap krisis Rohingya perlu menangani akar permasalahan, termasuk pemulihan hak asasi manusia dan pengiktirafan kewarganegaraan etnik berkenaan.
Menurutnya, usaha membawa pulang pelarian Rohingya tidak boleh dilaksanakan sekadar berdasarkan komitmen politik atau jaminan di atas kertas, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan sebenar di lapangan, khususnya aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Beliau berkata, Malaysia bersama negara anggota ASEAN serta masyarakat antarabangsa perlu terus memainkan peranan mendesak Myanmar supaya memenuhi tanggungjawabnya dan memastikan keputusan mahkamah itu diterjemahkan kepada tindakan nyata.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, sebarang usaha penyelesaian perlu meletakkan kepentingan mangsa sebagai keutamaan, termasuk memastikan mereka tidak lagi berdepan ancaman keganasan, diskriminasi dan penindasan apabila kembali ke negara asal.
“Keadilan untuk Rohingya mesti diterjemahkan kepada peluang untuk mereka pulang ke tanah air dengan selamat, menjalani kehidupan bermaruah dan membina semula masa depan,” katanya.
Mujahid menegaskan, perjuangan mendapatkan keadilan untuk masyarakat Rohingya tidak seharusnya terhenti dengan keputusan mahkamah, sebaliknya perlu diteruskan sehingga hak mereka dipulihkan dan kehidupan yang aman dapat dinikmati semula.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
