Oleh: Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow

PENJENAYAH yang diberi keistimewaan hukuman tahanan rumah ini harus dipantau 24 jam oleh pihak berkuasa penjara dan tidak boleh melakukan sebarang proses sosial serta komunikasi dengan mana-mana pihak termasuk ahli keluarga mereka sendiri tanpa kebenaran dari pihak penjara.
Ini juga termasuklah larangan membela haiwan kesayangan seperti kucing, burung dan lain-lain lagi. Adalah lebih baik rumah yang telah ditentukan sebagai tempat tahanan dikosongkan sepenuhnya supaya penjenayah berkenaan dapat hidup seorang diri bersama dengan pegawai penjara sepanjang proses hukuman ini dijalankan.
Ahli keluarga penjenayah yang terlibat harus mencari rumah baru untuk sementara waktu supaya penjenayah tahanan rumah berkenaan dapat menjalani proses hukuman mereka dengan lancar tanpa sebarang gangguan dari ahli keluarga.
Pendek kata, rumah yang telah dijadikan sebagai penjara itu harus dijadikan seperti penjara dengan sepenuhnya juga.
Paling penting, penjenayah tahanan rumah berkenaan dan ahli keluarga mereka juga harus menanggung segala kos perbelanjaan dan pengurusan sepanjang hukuman tahanan rumah dikenakan kepada penjenayah berkenaan.
Wang negara dan rakyat tidak seharusnya digunakan satu sen pun dan dibazirkan bagi menampung kehidupan penjenayah tahanan rumah terbabit.
Persoalan juga kini timbul, bagamana kita hendak memantau penjenayah yang telah diberi keistimewaan hukuman tahanan rumah ini kelak? Terdapat cadangan untuk memasang alat peranti pengesan terhadap penjenayah berkenaan sepanjang dia berada di rumah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Rancangan untuk memasang alat peranti pengesan terhadap penjenayah yang terpilih untuk menjalani hukuman tahanan rumah adalah menarik dan boleh diberi pertimbangan. Ini juga selaras dengan perkembangan teknologi yang perlu dimanfaatkan oleh semua pihak.
Terdapat beberapa negara dalam dunia yang sudah melaksanakan perkara ini antaranya ialah United Kingdom melalui Akta Keadilan Jenayah 2003 dan Akta Pencegahan Keganasan dan Siasatan 2011.
Australia dan New Zealand juga membenarkan pengunaan alat peranti pengesan ini sebagai syarat kepada proses jaminan, pemantauan dan sistem parole mereka.
Afrika Selatan juga telah mengunakan alat peranti pengesan ini bagi membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara mereka. Kemunculan pelbagai jenis teknologi baru telah memudahkan kehidupan semua pihak.
Pada masa sama juga, kemunculan teknologi baru ini boleh memudahkan pelaksanaan sistem undang-undang dan keadilan sesebuah negara. Pengunaan alat peranti pengesan ini dilihat dapat membantu pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas mereka dapat memantau banduan.
Apa itu alat peranti pengesan? Ia adalah satu alat canggih yang mengunakan Frekuensi Radio (RF) yang boleh memantau pergerakan individu pada setiap masa.
Alat ini selalunya diletakkan atau diikat pada bahagian kaki. Alat ini boleh disetkan supaya individu yang memakainya berada dalam sebuah lokasi sahaja pada setiap masa.
Sekiranya individu terbabit berada di luar kawasan dibenarkan, alat berkenaan akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang melakukan proses pemantauan terhadap alat dan banduan berkenaan.
Perlu ditegaskan, terdapat kebaikan dan keburukan dalam mengunakan alat peranti pengesan ini untuk banduan. Pengunaannya dapat membantu pihak penjara untuk mengurangkan tahap kesesakan yang berlaku dalam penjara melalui pelaksanaan hukuman tahanan rumah.
Terdapat juga pihak mengkritik pengunaan alat peranti pengesan ini. Selain daripada isu peruntukan kewangan dan tenaga kerja, terdapat pakar jenayah yang berpendapat pengunaan alat peranti pengesan ini melanggar hak peribadi individu.
Hak peribadi individu perlu dihormati oleh semua pihak. Walaupun seseorang itu telah dijatuhkan dengan hukuman oleh pihak mahkamah, hak peribadi mereka sebagai seorang manusia masih perlu dilindungi.
Penghormatan dan perlindungan terhadap hak peribadi individu ini adalah asas kepada kewujudan sesebuah tamadun manusia.
Pengunaan alat peranti pengesan ini juga dilihat sebagai tidak berkesan serta tidak memberi jaminan bagi memastikan banduan insaf, kembali ke pangkal jalan dan berubah untuk menjadi manusia yang baik.
Terdapat juga kebimbangan kerosakan yang berlaku pada alat ini. Sekiranya alat ini rosak secara tiba-tiba, banduan terbabit akan mengambil peluang untuk melarikan diri dari tahanan rumah mereka.
Berkemungkinan terdapat juga banduan yang pakar dalam bidang teknologi yang mungkin dapat menganggu gugat fungsi alat peranti pengesan berkenaan dengan tujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa dan melarikan diri.
Perlu diingatkan, alat peranti pengesan ini adalah cuma satu alat yang digunakan untuk memantau banduan yang dipilih untuk menjalani hukuman tahanan rumah.
Masih ramai tidak selesa dengan pelaksanaan hukuman tahanan rumah ini kerana ia dilihat sebagai satu bentuk hukuman tidak adil kerana tidak semua banduan akan dipilih untuk menjalani hukuman tahanan rumah ini.
Terdapat pihak juga berpandangan hukuman tahanan rumah ini sebagai satu bentuk hukuman yang ringan dan tidak patut diberikan kepada penjenayah tanpa mengira jenis jenayah yang mereka lakukan.
Untuk rekod, hukuman tahanan rumah ini bukan satu perkara baru yang didengari. Banyak negara dunia juga pernah dan masih ada melaksanakan hukuman tahanan rumah ini.
Antaranya ialah Algeria, Argentina, Australia, Myanmar, Kemboja, Chile, China, Taiwan, Mesir, Indonesia, Iran, Itali, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Singapura, Afrika Selatan, Tunisia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Hukuman tahanan rumah ini bukan sahaja dikenakan kepada pesalah yang sudah didapati bersalah oleh pihak mahkamah malah ianya turut dikenakan kepada suspek di dalam kes-kes jenayah.
Antara banduan paling popular pernah dikenakan tahanan rumah adalah Aung San Suu Kyi dari Myanmar yang dikenakan hukuman tahanan rumah dari tahun 1989 hingga 2010.
Jika diteliti, rata-rata mereka yang pernah dikenakan tahanan rumah ini adalah pesalah dari kalangan ahli politik dan bekas pemimpin. Disebabkan ini, ramai pihak menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pelaksanaan hukuman tahanan rumah ini.
Ada beberapa buah negara tidak terus melaksanakan hukuman tahanan rumah ini lagi.
Penulis, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow dari Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
