KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu dimuktamadkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini selepas Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengesahkan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November lalu susulan penyelesaian bayaran denda RM50 juta.
Pengesahan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan mencapai persetujuan berhubung pelaksanaan perintah berkenaan dalam prosiding semakan yang difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebelum ini, AGC memfailkan permohonan semakan bagi memperincikan teks Perintah Pelepasan berkenaan untuk mengelakkan kekeliruan teknikal undang-undang, tanpa menjejaskan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Pada jam 2.40 petang tadi, konvoi lima kenderaan membawa Najib dilihat meninggalkan Penjara Kajang menuju ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding berkenaan.
Perkembangan itu menyusul selepas UMNO melunaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu bagi memenuhi syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu sebelum ini ditangguhkan selepas AGC mengumumkan mahu membuat penelitian dan mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan selepas pembayaran denda berkenaan.
Sementara itu, beberapa kenderaan polis dilihat memasuki Jalan Langgak Duta, Taman Duta, petang ini, susulan perkembangan terbaharu berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Media yang berada di kawasan kediaman berkenaan turut diminta meninggalkan perkarangan rumah bagi membolehkan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan.
Tinjauan mendapati pos kawalan keselamatan didirikan di kediaman Najib bagi menyambut ketibaan beliau dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Perkembangan itu mencetuskan perhatian terhadap kemungkinan Najib dibawa pulang ke kediamannya sejurus selesai prosiding mahkamah bagi memulakan baki hukuman menerusi kaedah tahanan rumah.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau mula menjalani hukuman pada 23 Ogos 2022 dan hukuman itu kemudiannya dikurangkan menerusi proses pengampunan diraja.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
