KUALA LUMPUR – Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pemaju hartanah, KEB Berhad mencatatkan kadar langganan 1.01 kali bagi bahagian pelabur awam Malaysia, manakala saham yang diperuntukkan kepada individu layak dan melalui penempatan persendirian dilanggan sepenuhnya menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
KEB menerima 2,126 permohonan daripada orang awam membabitkan 44.47 juta saham baharu bernilai RM15.57 juta, menurut M & A Securities bagi pihak Lembaga Pengarah KEB dalam pengumuman bertarikh 4 November.
Jumlah permohonan itu melebihi 44.12 juta saham yang akhirnya diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia sebanyak 352,900 saham.
Pelabur awam Bumiputera mengemukakan 1,071 permohonan bagi 27.31 juta saham, mewakili kadar langganan 1.24 kali bagi bahagian tersebut, manakala bahagian awam lain menerima 1,055 permohonan bagi 17.16 juta saham.
Semua 2,126 pemohon awam menerima peruntukan selepas pelaksanaan peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula dalam prospektus.
Pemohon Bumiputera diperuntukkan 26.96 juta saham, manakala pemohon awam lain menerima sepenuhnya 17.16 juta saham yang dipohon.
Sebanyak 22.06 juta saham baharu yang dikhaskan kepada individu layak dilanggan sepenuhnya.
Sebanyak 22.06 juta saham baharu dan 88.24 juta saham sedia ada ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut ditempatkan sepenuhnya selepas pelaksanaan peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula berkaitan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Penempatan 50.30 juta saham baharu kepada pelabur terpilih turut diambil sepenuhnya, menjadikan keseluruhan 160.59 juta saham penempatan persendirian diperuntukkan kepada 230 pelabur.
Sepuluh penerima terbesar memperoleh 65.74 peratus daripada saham penempatan, bersamaan 11.97 peratus daripada modal saham diperbesar KEB.
Penerima terbesar memperoleh 43 juta saham atau 4.87 peratus daripada modal saham diperbesar sebanyak 882.39 juta saham, manakala tiada penerima menjadi pemegang saham utama melalui peruntukan penyenaralan itu.
Pengarah Urusan KEB, Datuk Lim Kim Chong berkata, pihaknya berasa terdorong dengan maklum balas positif terhadap IPO syarikat, yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan, rekod prestasi dan prospek masa depan KEB.

“Sokongan ini amat bermakna ketika kami bersedia untuk membuat penampilan sulung di Pasaran ACE dan memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan pertumbuhan syarikat.
“Dengan perkembangan berterusan, saluran paip masa depan dan bank tanah kami, kami percaya KEB berada pada kedudukan baik untuk terus membina asas yang telah kami bangunkan sejak dua dekad lalu,” katanya.
KEB telah menyiapkan 14 projek pembangunan hartanah setakat ini. Rancangan semasanya merangkumi empat pembangunan yang sedang dijalankan dengan anggaran jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.36 bilion serta dua projek masa hadapan anggaran jumlah GDV RM382.73 juta, menjadikan anggaran GDV keseluruhan enam projek itu kira-kira RM1.74 bilion.
Kumpulan itu turut mempunyai bank tanah seluas kira-kira 60.01 ekar, termasuk tanah di bawah perjanjian usaha sama dengan pemilik tanah, bagi menyokong rancangan pembangunan masa hadapannya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
