Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Seramai 11 Ahli Jawatankuasa Pengurusan Banjir bersama pengurusan sekolah mengadakan perbincangan bagi memperkemas persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh (SKGTD) dekat sini.
Persediaan itu penting memandangkan SKGTD antara lokasi yang dikenal pasti sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan penduduk terjejas sekiranya berlaku banjir di kawasan berkenaan.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, Faizul Hussin berkata, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada pelantikan pengurus dan penyelia serta pembentukan beberapa jawatankuasa khusus bagi memastikan operasi PPS berjalan lancar.
Menurut beliau, antara jawatankuasa dikenal pasti ialah pendaftaran mangsa banjir, bekalan keperluan, makanan, kesihatan dan kebersihan, keselamatan, aktiviti, sukarelawan, utiliti serta ibadah.
“Semua jawatankuasa ini mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir dapat diuruskan dengan baik sepanjang berada di PPS,” katanya.
Kata Faizul, JKM Pasir Mas mempunyai 71 PPS di bawah jagaannya termasuk kawasan Rantau Panjang dengan lapan daripadanya dikategorikan sebagai PPS berkapasiti besar yang mampu menempatkan lebih 1,500 mangsa banjir.
Katanya, sebanyak 45 PPS lagi berkapasiti sederhana dengan kemampuan menempatkan antara 500 hingga 1,500 mangsa, manakala 16 PPS berkapasiti kecil melibatkan surau dan masjid.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Jika semua 71 PPS dibuka serentak, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang mampu ditempatkan dianggarkan seramai 55,140 orang,” katanya.
Kata beliau, JKM Pasir Mas turut mempunyai sebuah stor bekalan makanan utama dan dua stor mini di SK Gual Periok dan Sekolah Arab Pohon Buluh bagi memastikan bantuan dapat disalurkan lebih cepat apabila berlaku bencana.
“Jika bekalan makanan di PPS kehabisan stok, Tok Penghulu di kawasan berkenaan boleh mendapatkan bekalan tambahan dari stor berkenaan bagi menampung keperluan mangsa untuk tempoh tiga hari.
“JKM juga telah memulakan pengagihan barangan bekalan bencana ke 45 pangkalan hadapan termasuk PPS SK Gual To’ Deh yang sering mengalami masalah terputus hubungan ketika banjir,” katanya.
Beliau menjelaskan, kuasa untuk membuka sesebuah PPS tertakluk kepada kebenaran Pegawai Daerah, manakala sistem pendaftaran mangsa banjir di PPS menggunakan Kod QR telah diperkenalkan sejak tahun lalu bagi memudahkan urusan merekodkan mangsa, sama ada berpindah ke PPS atau tidak.
“Bantuan bekalan makanan dan barangan keperluan seperti tikar, tilam serta selimut hanya diberikan kepada mangsa yang berpindah ke PPS.
“Kad makanan akan diberikan kepada ketua isi rumah yang berpindah ke PPS dan melalui kad berkenaan, mangsa juga boleh menerima sebarang sumbangan yang disalurkan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya penduduk yang tidak mahu berpindah ke PPS tetapi ingin mendaftarkan diri sebagai mangsa banjir boleh berbuat demikian di luar pagar sekolah.
Bagaimanapun, Faizul mengingatkan supaya kemudahan pendaftaran berkenaan tidak disalahgunakan untuk mendapatkan bantuan secara tidak sah.
“Jika ada pihak yang membuat pendaftaran palsu atau menipu, mereka perlu bersedia menghadapi risiko tindakan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya kesalahan itu dikesan,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
