Oleh: Dr. Muhammad Rozien Zakwan Ab. Rahman dan Dr. Sharifah Faridah Syed Ali
MESKIPUN penyampaian khutbah berakhir seiring selesainya solat Jumaat, ada mesej yang disampaikan kekal mengundang renungan buat jemaah yang melangkah pulang.
Khutbah Jumaat Negeri Sembilan baru-baru ini yang menyentuh soal pemimpin, ketaatan dan tanggungjawab membawa penulis kepada satu persoalan yang kelihatan mudah, tetapi mempunyai makna yang besar; iaitu apakah sebenarnya erti menjadi seorang pemimpin?
Kita sering memahami kepimpinan melalui jawatan. Perdana Menteri, menteri, ketua jabatan, dekan, pengarah dan ketua program semuanya dianggap pemimpin.
Namun, apabila direnungkan secara mendalam, kepimpinan sebenarnya jauh lebih luas daripada kedudukan rasmi.
Seorang bapa memimpin keluarga, seorang ibu memikul amanah terhadap rumah tangga, seorang pensyarah membimbing pelajar dalam proses mendapatkan ilmu, sementara seorang ketua pasukan bertanggungjawab terhadap mereka yang bekerja bersamanya.
Malah, sebelum seseorang mampu memimpin orang lain, dia terlebih dahulu perlu belajar memimpin dirinya sendiri.
Kepimpinan bermula dengan amanah
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam Islam, kepimpinan bukan sekadar kedudukan yang membawa penghormatan. Ia adalah amanah yang akhirnya akan dipersoalkan.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin dan setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin.
Prinsip ini mengubah cara kita melihat kuasa. Jawatan bukan hadiah kerana seseorang lebih hebat daripada orang lain.
Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab untuk memastikan sesuatu urusan dilaksanakan dengan adil dan sebaik mungkin.
Surah al-Nisa’, ayat 58 menghubungkan amanah dengan keadilan. Allah SWT memerintahkan supaya amanah diberikan kepada mereka yang berhak dan apabila membuat keputusan antara manusia, keputusan itu hendaklah dilakukan dengan adil.
Hal ini menunjukkan bahawa amanah dan keadilan tidak boleh dipisahkan daripada kepimpinan.
Apabila seseorang diberikan kuasa, persoalannya bukan sekadar apa yang boleh dilakukannya, tetapi bagaimana kuasa itu digunakan.
Adakah jawatan membuatkan seseorang semakin dekat dengan mereka yang dipimpin atau semakin jauh? Adakah dia semakin mudah mendengar atau semakin sukar menerima teguran?
Adakah setiap keputusan dibuat dengan mempertimbangkan kesannya terhadap orang lain? Di situlah kepimpinan sebenarnya diuji.
Taat tidak bermaksud membisu
Seperkara lagi yang wajar direnungkan ialah konsep ketaatan. Dalam Islam, menghormati pemimpin dan struktur kepimpinan adalah penting kerana sesebuah organisasi atau masyarakat sukar berfungsi sekiranya setiap orang hanya mahu bertindak mengikut kehendak sendiri.
Namun, ketaatan juga mempunyai prinsip. Ketaatan bukan bererti membisu terhadap kesalahan, manakala penghormatan kepada pemimpin tidak bermaksud kita kehilangan ruang untuk memberikan pandangan.
Surah al-Nisa’, ayat 59 mengajar tentang ketaatan kepada Allah, Rasul dan ulil amri. Dalam kerangka ini, wujud keseimbangan di antara tanggungjawab orang yang memimpin dengan mereka yang dipimpin.
Rakyat perlu menghormati pemimpin, tetapi pemimpin juga perlu menghormati rakyat. Pekerja perlu menghormati ketua, tetapi ketua pula perlu menjaga maruah pekerjanya.
Begitu juga pelajar perlu menghormati pensyarah, namun pensyarah mempunyai amanah untuk berlaku adil kepada pelajarnya.
Hubungan kepimpinan tidak boleh bergerak dalam satu arah sahaja. Ketaatan tanpa tanggungjawab boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, manakala kebebasan tanpa adab boleh merosakkan keharmonian.
Pemimpin perlu berani mendengar
Antara ujian terbesar seseorang pemimpin ialah ketika menerima pandangan yang tidak menyenangkan. Mudah untuk menerima mereka yang sentiasa bersetuju dengan kita.
Lebih sukar untuk menerima seseorang yang datang dan mengatakan bahawa sesuatu keputusan mungkin perlu dinilai semula.
Di sinilah kematangan seorang pemimpin diuji. Adakah teguran dianggap sebagai ancaman? Adakah perbezaan pandangan dilihat sebagai tanda ketidaksetiaan?
Atau, adakah seseorang pemimpin mampu menerima bahawa pandangan berbeza yang kadangkala diperlukan untuk menghasilkan keputusan lebih baik?
Pemimpin yang hanya mahu mendengar perkara yang menyenangkan mungkin akhirnya kehilangan gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di bawah kepimpinannya.
Jika semua orang di sekeliling takut untuk bercakap secara jujur, keputusan boleh dibuat berdasarkan maklumat yang tidak lengkap.
Pada pandangan penulis, orang yang paling setia bukan semestinya mereka yang sentiasa berkata “ya”.
Kadangkala, individu yang benar-benar mahu melihat organisasi dan pemimpinnya berjaya ialah mereka yang berani menyampaikan sesuatu yang tidak enak didengar.
Teguran juga memerlukan adab
Namun, refleksi tentang kepimpinan tidak sepatutnya ditujukan hanya kepada mereka yang berada di atas. Kita yang berada di bawah juga mempunyai tanggungjawab.
Hak untuk menegur tidak bermakna kita bebas menghina, manakala hak untuk tidak bersetuju bukan lesen untuk memfitnah.
Perbezaan pandangan tidak semestinya berakhir dengan permusuhan. Dalam era media sosial, perkara ini semakin penting kerana sesuatu kritikan boleh disampaikan kepada ribuan orang hanya dalam beberapa saat.
Ketidakpuasan hati mungkin mempunyai asas, tetapi cara ia disampaikan tetap mencerminkan nilai dan akhlak diri kita sendiri.
Kritikan yang baik sepatutnya bertujuan memperbaiki, bukan sekadar mempermalukan. Teguran yang baik membuka ruang pembetulan dan perbincangan, bukannya menutup pintu dengan kebencian. Kita boleh tegas mempertahankan prinsip tanpa kehilangan adab.
Kepimpinan bukan hanya politik dan pemerintahan
Apabila perkataan “pemimpin” disebut, fikiran kita mudah tertumpu kepada politik dan pemerintahan.
Namun, mungkin lebih berguna jika konsep kepimpinan dibawa lebih dekat kepada kehidupan kita sendiri.
Jika kita seorang ketua jabatan, bagaimana kita melayan staf? Jika kita seorang pensyarah, adakah kita berlaku adil kepada semua pelajar?
Jika kita mengurus sebuah organisasi, adakah kita memberikan ruang kepada mereka yang berada di bawah untuk berkembang?
Jika kita seorang ibu atau bapa, apakah bentuk kepimpinan yang dilihat oleh anak-anak setiap hari?
Dalam bahasa pengurusan moden, kita sering berbicara tentang akauntabiliti, tatakelola, kepercayaan, dan integriti.
Dalam kerangka Islam, banyak daripada konsep tersebut bertemu pada satu perkataan yang mudah disebut tetapi berat untuk dilaksanakan, iaitu amanah.
Amanah bukan hanya diuji apabila manusia melihat kita. Amanah juga diuji ketika tiada siapa yang mengetahui keputusan yang kita buat.
Sedikit kuasa juga satu ujian
Lazimnya manusia lebih mudah menilai bagaimana seseorang pemimpin sepatutnya bertindak berbanding menilai cara dirinya sendiri menggunakan kuasa.
Pemimpin perlu adil, mendengar dan tidak boleh menyalahgunakan kedudukan. Namun, persoalannya ialah sama ada perkara yang sama dilakukan apabila kita diberi sedikit kuasa.
Hakikatnya, hampir setiap orang mempunyai sedikit kuasa dalam kehidupan seharian.
Ada yang mempunyai kuasa terhadap pekerja bawahan, ada yang memberikan markah kepada pelajar, ada yang meluluskan permohonan, menentukan jadual atau memilih siapa yang diberikan peluang. Maka, di situlah latihan kepimpinan sebenarnya bermula.
Kita tidak perlu menunggu menjadi menteri, ketua pegawai eksekutif atau ketua organisasi untuk belajar tentang amanah.
Cara kita menggunakan kuasa yang kecil hari ini boleh memberikan gambaran tentang bagaimana kita mungkin menggunakan kuasa yang lebih besar pada masa hadapan.
Jawatan berakhir, kesannya mungkin kekal
Jawatan mempunyai tempoh. Hari ini seseorang dipanggil ketua, tetapi suatu hari nanti orang lain akan mengambil tempatnya.
Hari ini seseorang mempunyai pejabat, autoriti dan kuasa membuat keputusan, tetapi sampai masanya semua itu akan ditinggalkan.
Namun, kesan daripada sesuatu keputusan mungkin kekal dalam kehidupan orang lain. Seorang ketua mungkin sudah lupa keputusan yang dibuat beberapa tahun lalu, tetapi pekerja yang terkesan mungkin masih mengingatinya.
Seorang pensyarah mungkin lupa kata-kata yang pernah disampaikan, tetapi seorang pelajar mungkin mengingatinya bertahun-tahun.
Dalam kepercayaan kita sebagai Muslim, amanah yang pernah diberikan juga tidak berakhir apabila jawatan tamat. Ia tetap menjadi sesuatu yang akan dipersoalkan.
Sebab itu kepimpinan tidak sepatutnya hanya diraikan sebagai satu keistimewaan. Ia perlu diterima bersama rasa tanggungjawab; bimbang jika kita tidak berlaku adil, bimbang jika keputusan kita menyusahkan orang lain dan bimbang sekiranya mereka yang berada di bawah tidak mempunyai ruang untuk bersuara.
Refleksi akhirnya kembali kepada diri sendiri
Khutbah mengenai kepimpinan itu akhirnya membawa persoalan yang lebih dekat kepada diri kita sendiri.
Sebelum bertanya sama ada pemimpin sudah menunaikan amanah mereka, mungkin juga perlu bertanya diri sama ada amanah kecil yang berada di tangan hari ini sudah dilaksanakan dengan baik.
Mungkin di situlah nilai sebenar sebuah refleksi tentang kepimpinan. Ia bukan sekadar memberi ruang untuk menilai mereka yang berada di atas, tetapi mengajak kita menilai diri mengenai amanah, autoriti dan tanggungjawab yang diberikan.
Pada akhirnya, kepimpinan bukan sekadar tentang berapa ramai manusia yang berada di bawah kita atau seberapa tinggi jawatan yang dipegang.
Kepimpinan adalah tentang bagaimana kita menggunakan kuasa, melayani manusia, bertindak apabila ditegur dan sejauh mana sanggup bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
Dr. Muhammad Rozien Zakwan Ab. Rahman dan Dr. Sharifah Faridah Binti Syed Ali ialah Pensyarah Kanan, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
