JAKARTA – Polis Indonesia menahan tiga suspek berhubung dakwaan pintasan komunikasi secara haram yang menyasarkan Presiden Prabowo Subianto.
Turut menjadi mangsa, beberapa individu berprofil tinggi, termasuk pegawai kerajaan, ahli politik, pemimpin perniagaan serta wakil media, antara 2025 hingga 2026.
Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim), Komisioner Jeneral Asep Safrudin berkata suspek didakwa mengarahkan supaya nombor telefon dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Pintasan Sah (LIMS) milik polis.
“Ini dilakukan tanpa melalui prosedur pengesahan yang ditetapkan.
“Antara 2025 hingga 2026, suspek didakwa mengarahkan operasi pintasan komunikasi tanpa permohonan bertulis daripada penyiasat atau laporan polis yang berkaitan.
“Pintasan komunikasi itu dilakukan tanpa sebarang kaitan dengan aktiviti penguatkuasaan undang-undang manakala rekod operasi berkenaan kemudiannya dipadamkan pada Oktober 2026,” katanya pada satu sidang media.
Seorang pegawai yang mengetahui kegiatan itu kemudian membuat laporan polis pada 30 Oktober.
Asep hanya mengenal pasti suspek menerusi singkatan nama mereka, LSP, ASN dan EH, sambil memaklumkan bahawa ketiga-tiganya ditahan di pusat tahanan Bareskrim.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Media Indonesia mengenal pasti suspek sebagai bekas Ketua Polis Negara yang kini menjawat jawatan Ketua Staf Presiden, Listyo Sigit Prabowo; Ketua Bahagian Undang-Undang Polis Nasional, Inspektor Jeneral Ahrie Sonta Nasution; serta pengajar kanan polis, Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso.
Asep berkata penyiasat telah menyoal siasat 10 saksi dan tiga saksi pakar serta merampas 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu kilat USB.
Beliau berkata seorang lagi individu yang dikenal pasti sebagai SU masih disoal siasat sebagai saksi.

Menurut Asep, penyiasat menggunakan peruntukan di bawah Kanun Jenayah Indonesia (KUHP) dan Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE).
Ini meliputi dakwaan pintasan komunikasi secara tidak sah, akses tanpa kebenaran kepada sistem elektronik serta pemadaman maklumat elektronik.
Kesalahan berkenaan masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, enam tahun dan lapan tahun.
Ditanya mengenai motif di sebalik dakwaan pemintasan komunikasi itu, Asep berkata siasatan masih di peringkat awal. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
