Oleh: Dr. Muhammad Rozien Zakwan Ab. Rahman dan Dr. Izwan Harith Md. Ithnan
APABILA merancang percutian, perkara pertama yang bermain di fikiran kita ialah tiket penerbangan, hotel, tempat menarik dan makanan.
Jika destinasi itu di luar negara, terutama negara yang majoriti penduduknya bukan Islam, kita akan mencari restoran halal dan tempat menunaikan solat. Namun, pernahkah kita bertanya: apakah sebenarnya makna melancong sebagai seorang Muslim?
Adakah perjalanan mesra Muslim sekadar bermaksud makanan halal, arah kiblat di bilik hotel atau masjid yang mudah ditemui? Atau ada sesuatu yang lebih besar daripada itu?
Bagi seorang Muslim, perjalanan sepatutnya bukan hanya membawa kita dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Sebaliknya, menjadi peluang untuk mengenal dunia, memerhati manusia, menghargai ciptaan Allah dan akhirnya mengenal diri sendiri dengan lebih baik.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-‘Ankabut, ayat 20 yang bermaksud: “Berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana Allah memulakan penciptaan.”
Ayat ini memberi perspektif yang menarik tentang perjalanan. Kita bukan sekadar disuruh pergi, tetapi juga melihat, memerhati dan mengambil pengajaran.
Malangnya, dalam budaya melancong hari ini, perjalanan kadangkala berubah menjadi satu perlumbaan. Kita mengejar tempat yang sedang tular, mengambil gambar dan mencuba makanan popular di situ.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Tidak salah untuk menikmati semua itu. Percutian memang masanya untuk berehat, bergembira dan meluangkan masa bersama keluarga.
Tetapi jangan sampai kita pulang dengan beratus-ratus gambar di dalam telefon tanpa membawa pulang satu pun pengajaran.
Halal bukan sekadar di atas pinggan
Malaysia mempunyai sebab untuk berbangga. Dalam Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026, Malaysia sekali lagi menduduki tempat pertama dunia sebagai destinasi mesra Muslim.
Pencapaian itu mencerminkan kekuatan ekosistem negara dalam memenuhi keperluan pelancong Muslim, daripada akses kepada makanan halal, kemudahan solat, perkhidmatan disediakan serta pengalaman pelancongan yang lebih mesra keluarga.
Namun, pencapaian tersebut juga membawa satu persoalan yang lebih besar. Jika Malaysia sudah dikenali sebagai destinasi mesra Muslim, bolehkah kita turut menjadi contoh kepada dunia tentang maksud sebenar pelancongan yang membawa nilai-nilai Islam?
Konsep halal dalam pelancongan tidak sepatutnya berhenti di atas pinggan. Ketika berada di negara orang, bagaimana kita melayan pekerja hotel? Bagaimana kita berurusan dengan peniaga? Adakah kita menjaga kebersihan tempat yang dikunjungi?
Selain itu, adakah kita mengambil makanan secara berlebihan di bufet lalu membuangnya? Adakah kita menghormati undang-undang, adat dan budaya masyarakat tempatan? Semua persoalan itu amat berkait dengan nilai-nilai tersebut.
Kita tidak meninggalkan akhlak hanya kerana kita meninggalkan Malaysia. Jika di rumah kita diajar menghormati orang lain, menjaga kebersihan, bercakap dengan baik dan tidak membazir, nilai yang sama sepatutnya dibawa bersama ketika berada di negara orang.
Malah, tanpa disedari, tingkah laku seorang pelancong Muslim boleh menjadi gambaran mengenai Islam kepada orang yang ditemuinya.
Ada kemungkinan pekerja restoran, pemandu teksi atau pemilik kedai yang ditemui tidak pernah mempunyai hubungan dengan seorang Muslim. Dalam keadaan itu, adab kita mungkin menjadi antara pengalaman mereka dalam mengenali seorang Muslim.
Sebab itu identiti Muslim ketika melancong bukan hanya terletak pada apa yang kita makan, tetapi juga bagaimana kita bertingkah laku.
Keluar melihat dunia, pulang melihat diri
Salah satu keindahan melancong ialah peluang untuk keluar daripada rutin kehidupan seharian dan meneroka dunia yang lebih luas.
Kita berpeluang mendengar bahasa yang berbeza, mengenali budaya yang pelbagai serta menyaksikan sendiri cara masyarakat lain menjalani kehidupan.
Pengalaman ini bukan sahaja memperluas perspektif, malah mendidik kita agar lebih terbuka, menghargai perbezaan dan memahami kehidupan daripada sudut pandang yang berbeza.
Kadangkala perkara yang kelihatan kecil memberi pengajaran besar. Kita mungkin kagum melihat masyarakat beratur dengan tertib, sistem pengangkutan awam yang cekap atau cara mereka menjaga sungai, taman dan kemudahan awam.
Pada masa yang sama, perjalanan membuatkan kita sedar bahawa banyak perkara yang kita anggap biasa di tanah air sebenarnya adalah nikmat yang besar.
Al-Quran turut mengajak manusia melihat perjalanan sebagai proses pembelajaran. Dalam Surah al-Rum, ayat 42, Allah SWT memerintahkan manusia berjalan di muka bumi dan melihat bagaimana kesudahan umat terdahulu.
Sebab itu, apabila kita mengunjungi kota lama, muzium, masjid bersejarah, tapak tamadun atau monumen, janganlah sekadar menjadi latar belakang untuk bergambar.
Di sebalik setiap tempat ada sejarahnya. Di sebalik sejarah ada kejayaan, kesilapan dan pengajaran. Persoalannya adalah sama ada kita mahu sekadar melihat atau mahu memahami.
Jangan jadikan ‘Muslim-friendly’ sekadar label
Perkara yang sama harus difikirkan oleh industri pelancongan. Permintaan terhadap pelancongan mesra Muslim membuka peluang ekonomi yang besar. Namun, istilah “halal” dan “Muslim-friendly” tidak seharusnya menjadi sekadar label pemasaran.
Menyediakan makanan halal, sejadah dan tanda arah kiblat memang penting. Tetapi nilai yang lebih besar turut merangkumi kejujuran dalam harga, kebersihan, keselamatan, layanan yang baik, penghormatan terhadap pekerja dan tetamu serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pelancongan yang membawa nilai Islam perlu melihat manusia sebagai manusia, bukan sekadar pelanggan.
Pada masa yang sama, pelancong Muslim juga perlu memainkan peranan. Kita tidak boleh mengharapkan setiap destinasi di dunia menyediakan segala-galanya mengikut kehendak kita tanpa membuat persediaan sendiri.
Sebelum berangkat, semak lokasi masjid, waktu solat, pilihan makanan halal dan peraturan tempatan. Ketika berada di negara orang, hormatilah undang-undang dan budaya mereka selagi tidak bertentangan dengan prinsip agama.
Kita hadir sebagai tetamu, maka jagalah adab dan hormatilah persekitaran setempat.
Apa yang kita bawa pulang?
Mungkin soalan paling penting selepas sesuatu perjalanan bukanlah, “Berapa banyak negara yang sudah dilawati?” Sebaliknya, tanyalah: “Apa yang perjalanan itu memberi impak kepada diri kita?”
Adakah kita menjadi lebih bersyukur? Adakah kita lebih memahami manusia yang berbeza daripada kita? Adakah kita lebih menghargai keluarga, keamanan dan kehidupan yang kita miliki?
Perjalanan juga tidak selalunya indah seperti yang dipamerkan di media sosial. Penerbangan boleh lewat. Bagasi boleh hilang. Kita boleh tersesat, kepenatan atau menghadapi salah faham kerana perbezaan bahasa dan budaya.
Rasulullah SAW sendiri mengingatkan tentang kepayahan yang boleh hadir bersama perjalanan. Namun, mungkin dalam kesukaran itulah kita belajar tentang sabar, toleransi dan rasa syukur.
Sebab itu, pada pandangan penulis, pelancongan Islam bukan semata-mata satu segmen dalam industri pelancongan, sebaliknya satu cara melihat perjalanan.
Kita melancong bukan untuk meninggalkan identiti kita, tetapi membawa identiti itu ke dunia yang lebih luas. Kita mungkin membawa pasport, telefon, pakaian dan wang ketika bermusafir. Tetapi ada sesuatu yang lebih penting yang turut dibawa bersama, iaitu iman dan akhlak.
Destinasi akan berubah. Gambar mungkin suatu hari nanti hilang. Kenangan juga mungkin semakin kabur. Tetapi, perjalanan yang benar-benar bermakna akan meninggalkan sesuatu dalam diri kita.
Akhirnya, nilai sesebuah perjalanan bukan sekadar diukur melalui keindahan destinasi yang dikunjungi, tetapi juga melalui perubahan diri yang dibawa pulang.
Sebagai Muslim, setiap perjalanan seharusnya menjadi ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah, memperhalus akhlak, menghargai manusia, menghormati alam dan mensyukuri nikmat kehidupan.
Ke mana pun kita melangkah, biarlah identiti, akhlak dan iman sentiasa menjadi teman perjalanan. Kerana musafir yang bermakna bukan hanya membawa kita ke tempat baharu, tetapi turut menjadikan kita insan yang lebih baik.
Penulis, Dr. Muhammad Rozien Zakwan Ab. Rahman ialah Pensyarah Kanan, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan dan Dr. Izwan Harith Md. Ithnan ialah Ketua Program Pengurusan dan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM, Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
