KUALA LUMPUR – Pelabur industri di Taman Teknologi Silver Valley (SVTP), Ipoh, Perak, berpotensi menikmati kos tenaga lebih rendah menerusi pembangunan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui hasil kerjasama strategik antara Advancecon dan ACEN C&I.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Advancecon Development Sdn. Bhd., pemaju induk SVTP, dengan ACEN C&I MY Holdings Sdn Bhd, anak syarikat ACEN C&I HK Limited, bagi meneroka penyelesaian bekalan tenaga bersih yang lebih berdaya saing untuk pengilang dan pengendali industri.
Menerusi kerjasama berkenaan, syarikat yang beroperasi di SVTP dijangka berpeluang mengurangkan kos elektrik melalui pemasangan sistem solar atas bumbung serta pemerolehan tenaga boleh diperbaharui daripada projek solar berskala utiliti menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Pendekatan itu bertujuan menyediakan akses tenaga bersih yang boleh dipercayai dan dikembangkan mengikut keperluan operasi, sekali gus mengurangkan keperluan setiap pengendali industri untuk membangunkan strategi bekalan tenaga masing-masing secara berasingan.
Selain menjimatkan kos operasi, kerjasama berkenaan turut menyasarkan sokongan kepada pengilang dalam memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya syarikat yang perlu mematuhi keperluan penyahkarbonan serta piawaian kemampanan pelanggan antarabangsa.
Skop kerjasama itu juga merangkumi pembangunan bekalan tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), sejajar dengan peningkatan penggunaan kenderaan komersial elektrik dalam aktiviti perindustrian dan logistik.
Pada masa sama, kedua-dua pihak akan meneroka penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri, pengurusan tenaga pintar dan pembangunan Rangkaian Pengedaran Persendirian (PDN) bagi mengintegrasikan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam ekosistem tenaga yang lebih cekap serta berdaya tahan.
Pengarah Urusan Kumpulan Advancecon Holdings Bhd, Phum Boon Eng berkata, kerjasama itu mencerminkan perubahan pendekatan syarikat daripada penyedia infrastruktur kepada pembangunan ekosistem perindustrian bersepadu yang bukan sahaja menawarkan tapak pembangunan, malah penyelesaian untuk memudahkan pelabur memulakan dan mengembangkan operasi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Selama lebih tiga dekad, Advancecon telah membina infrastruktur yang menyokong pertumbuhan Malaysia. Hari ini, kami membawa kepakaran infrastruktur yang sama ke dalam pembangunan perindustrian dengan kepercayaan mudah pengeluar memerlukan lebih daripada sekadar tanah yang sedia untuk pembangunan mereka memerlukan ekosistem yang membantu mereka berjaya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ACEN C&I, Kelvin Yuen pula berkata, penyepaduan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui sejak peringkat awal pembangunan taman perindustrian dapat membantu syarikat mengurus kos tenaga dan mencapai sasaran kemampanan dalam jangka panjang.
“Taman perindustrian merupakan pemacu penting peralihan tenaga. Mengintegrasikan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui ke dalam reka bentuk asal taman perindustrian adalah paling praktikal untuk mengurangkan kos dan mencapai matlamat ESG dalam jangka masa panjang,” katanya.
SVTP ialah pembangunan perindustrian bersepadu seluas 2,700 ekar di Ipoh, dengan fasa pertama seluas 816 ekar dibangunkan bersama Advancecon Holdings Bhd dan Perak Corporation Bhd di Kanthan, Perak, membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar RM900 juta.
Pembangunan itu dirancang bagi menarik industri pembuatan maju dan bernilai tinggi menerusi penyediaan infrastruktur serta sokongan kepada pelabur.
ACEN C&I, yang mempunyai kapasiti tenaga boleh diperbaharui terpasang melebihi 100 megawatt (MW), menyediakan penyelesaian tenaga kepada pelanggan komersial dan perindustrian di Asia.
Bagaimanapun, MoU berkenaan hanya mewujudkan rangka kerja kerjasama untuk menilai peluang pembangunan tenaga boleh diperbaharui di SVTP, manakala pelaksanaan setiap projek masih tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan kawal selia dan pemeteraian perjanjian muktamad.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
