KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penjelasan menyeluruh berhubung mekanisme pemantauan dan pengurusan kes buli di sekolah susulan kejadian yang dilaporkan sehingga meragut nyawa pelajar.
Presiden PERKASA, Borhan Ahmad Zakaria, berkata pihaknya memandang serius dan amat dukacita terhadap kejadian berkenaan kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menimba ilmu, membina masa depan serta membentuk sahsiah.
Menurutnya, kejadian buli, keganasan dan intimidasi yang berlaku sehingga mengancam keselamatan serta nyawa pelajar menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan sistem pengawasan dan perlindungan murid di institusi pendidikan.
“Persoalan yang perlu dijawab ialah apakah solusi konkrit KPM untuk memastikan tragedi seperti ini tidak berulang?
“PERKASA menuntut KPM memberikan penjelasan yang jelas kepada ibu bapa dan seluruh rakyat mengenai mekanisme pemantauan buli yang sedang dilaksanakan serta sejauh mana keberkesanannya,” katanya dalam kenyataan media.
Borhan berkata, KPM juga perlu menjelaskan mengapa masih terdapat kes buli yang hanya mendapat perhatian serius selepas kejadian menjadi tular atau apabila mangsa sudah mengalami kecederaan serius.
Beliau berkata, perkara lebih penting ialah memastikan setiap aduan buli direkodkan, disiasat dan dipantau sehingga selesai, selain menentukan tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengetahui kewujudan kes buli tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya.
“Persoalan turut timbul sama ada jumlah guru disiplin, kaunselor dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap keselamatan serta kesejahteraan murid ketika ini mencukupi untuk menangani isu berkenaan secara berkesan,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sehubungan itu, PERKASA mencadangkan supaya KPM segera melaksanakan Audit Keselamatan dan Antibuli di seluruh sekolah di Malaysia, termasuk sekolah berasrama, bagi mengenal pasti kelemahan sistem serta kawasan yang berisiko berlaku kejadian buli.
Menurut Borhan, audit berkenaan perlu disusuli laporan berkala supaya tahap keselamatan sekolah dan keberkesanan langkah pencegahan dapat dinilai secara berterusan serta dipertanggungjawabkan.
Dalam pada itu, PERKASA menggesa supaya tindakan disiplin yang tegas dan konsisten dikenakan terhadap pelaku buli mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Pertubuhan itu juga mencadangkan siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan bagi setiap kes buli serius yang mengakibatkan kecederaan parah atau kematian, selain memastikan mangsa dan saksi mendapat perlindungan sewajarnya supaya mereka tidak takut tampil membuat laporan.
PERKASA turut menggesa penambahan kaunselor dan pegawai psikologi di sekolah yang memerlukan, selain pemantauan berterusan terhadap sekolah berasrama dan lokasi yang dikenal pasti berisiko, termasuk asrama, tandas, koridor serta kawasan yang kurang pengawasan.
Borhan berkata, tanggungjawab pentadbir sekolah dalam mengendalikan aduan buli juga perlu diperjelaskan supaya setiap laporan diberi perhatian dan tidak berakhir tanpa tindakan.
“Kerjasama lebih erat antara KPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu bapa dan komuniti perlu diperkukuh bagi menangani masalah buli secara menyeluruh.
“Isu ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai masalah disiplin pelajar kerana ia turut membabitkan soal keselamatan, kesihatan mental, kebajikan dan masa depan anak-anak,” katanya.
Menurutnya, KPM sebelum ini telah melaksanakan pelbagai kempen antibuli serta menyatakan komitmen untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan sesuatu dasar akhirnya perlu dinilai berdasarkan pelaksanaannya di lapangan dan kemampuan sistem berkenaan mencegah kejadian buli daripada berulang.
“Nyawa seorang pelajar bukan angka statistik. Setiap anak yang dihantar ke sekolah adalah amanah ibu bapa dan negara. Mereka berhak pulang ke rumah dalam keadaan selamat,” katanya.
PERKASA, katanya, turut menuntut supaya akauntabiliti ditentukan dengan jelas sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kecuaian, kelemahan pengurusan atau kegagalan pihak bertanggungjawab dalam menangani aduan buli.
Borhan berkata, KPM tidak seharusnya hanya bertindak selepas tragedi berlaku, sebaliknya langkah pencegahan perlu dilaksanakan lebih awal bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
“Pencegahan mesti bermula sebelum nyawa menjadi taruhan. Isu buli perlu dijadikan agenda keselamatan pendidikan negara yang paling serius dan diberikan penyelesaian yang benar-benar berkesan, bukan sekadar kempen, slogan dan kenyataan media,” katanya.
Dalam pada itu, PERKASA turut menyatakan pendirian bahawa sekiranya Menteri Pendidikan gagal memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa sistem keselamatan dan pengurusan buli di bawah kementeriannya benar-benar berkesan, beliau wajar mengambil tanggungjawab politik dengan mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.
PERKASA menegaskan bahawa usaha membanteras buli memerlukan tindakan bersepadu dan berterusan bagi memastikan sekolah benar-benar menjadi persekitaran yang selamat untuk semua pelajar.
“Selamatkan anak-anak kita. Hentikan buli. Jangan biarkan tragedi berulang,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
