CHERAS SELATAN – Rapid Bus terus memperkukuh budaya perkhidmatan berorientasikan pelanggan menerusi program Service Ambassador 2.0 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Bagi sesi April hingga Jun 2026, seramai 155 petugas barisan hadapan telah diiktiraf di bawah program tersebut, yang melibatkan 150 kapten bas dan kapten van serta lima Pegawai Khidmat Pelanggan dan Pegawai Penyelaras Trafik.
Semua 155 penerima dianugerahkan Armband Ambassador tahap Bronze sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan komitmen mereka. Pencapaian pada tahap Silver dan Gold dinilai berdasarkan prestasi yang dikekalkan secara konsisten sepanjang tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, Rapid Bus komited dalam usaha memperkukuh mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan, dengan petugas barisan hadapan menjadi tonggak utama dalam memastikan perjalanan pelanggan berjalan lancar, selamat dan selesa.
“Petugas barisan hadapan adalah nadi kepada penyampaian perkhidmatan Rapid Bus. Pengiktirafan ini diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi mereka, selain menggalakkan budaya perkhidmatan yang sentiasa mengutamakan pelanggan,” katanya.

Program Service Ambassador mula diperkenalkan pada tahun 2023 sebagai platform untuk menghargai warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang serta komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas.
Sejak diperkenalkan sehingga tahun 2025, lebih 1,900 warga kerja Rapid Bus telah menerima pengikitirafan menerusi program tersebut.
Bermula tahun ini, program Service Ambassador diperkasakan menerusi Service Ambassador 2.0 yang memperkenalkan sistem pengiktirafan berperingkat bagi menggalakkan kecemerlangan dalam kalangan petugas barisan hadapan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
