KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazir Hussin menafikan dakwaan berlaku penyelewengan atau kehilangan dana berjumlah RM10 juta milik Yayasan Bank Rakyat (YBR), sebaliknya menegaskan pelaburan itu telah dipulangkan sepenuhnya, selain menghasilkan pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta.
Beliau berkata, pelaburan RM10 juta yang dibuat YBR itu dilaksanakan berdasarkan prinsip tadbir urus baik, usaha wajar serta tatakelola yang sewajarnya.
Menurutnya, modal pelaburan itu telah diperoleh semula sepenuhnya, manakala pulangan hibah berjumlah RM1.85 juta dikreditkan terus ke akaun YBR setiap tiga bulan sepanjang tempoh pelaburan.
“YBR tidak kehilangan satu sen pun dan tiada kecurian wang berlaku. YBR telah membuat pelaburan sebanyak RM10 juta dan pelaburan tersebut dibuat berdasarkan prinsip good governance, due diligence serta tatakelola yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media bagi menjelaskan isu berkenaan.
Nazir berkata, pelaburan itu bagaimanapun telah ditamatkan oleh YBR pada November 2022.
Beliau tampil memberikan penjelasan susulan beberapa perkara yang didakwa menjadi perhatian umum, termasuk persoalan mengenai syarikat dikaitkan dengan pelaburan tersebut, hubungan beliau dengan seorang ahli keluarganya yang menjadi pelabur dalam syarikat berkenaan serta tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.
Mengenai dakwaan beliau menyalahgunakan kedudukan dengan membuat pelaburan menggunakan syarikat milik abangnya, Nazir menafikan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai tidak tepat.
Katanya, syarikat berkenaan bukan milik abangnya seperti yang didakwa, sebaliknya, hanya menjadi salah seorang pelabur dalam syarikat berkenaan selepas YBR membuat pelaburan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Transaksi yang melibatkan abang saya dalam syarikat berkenaan hanya bermula pada tahun 2021 dan beliau masih merupakan salah seorang pelabur sehingga kini.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan pelaburan YBR itu sebagai pelaburan dalam syarikat milik abang saya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan berhubung perkara itu yang menurutnya turut dinyatakan dalam permohonan reman di hadapan Majistret.
Menurut Nazir, gambaran sedemikian boleh menimbulkan persepsi tidak tepat terhadap dirinya, khususnya apabila hubungan keluarganya dengan salah seorang pelabur dalam syarikat itu dikaitkan secara langsung dengan pelaburan YBR.
Dalam pada itu, Nazir turut mendedahkan kediamannya telah digeledah SPRM pada 30 September lalu dalam tindakan yang berlangsung selama kira-kira 12 jam.
Katanya, pegawai SPRM hadir ke kediamannya kira-kira jam 6.30 pagi dan berada di situ sehingga jam 6.30 petang.
Beliau mendakwa beberapa kenderaan termasuk kereta dan motosikal miliknya turut disita dalam tindakan berkenaan atas alasan terdapat penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.
Bagaimanapun, Nazir mempertikaikan tindakan serta kaedah penyitaan tersebut yang menurut pandangannya adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat dalam konteks bahawa kertas siasatan berkaitan isu berkenaan, menurut pengetahuannya, telah dibuka kira-kira empat tahun lalu.
“Untuk rekod, kertas siasatan berkaitan isu ini pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu. Pihak SPRM telah menjalankan siasatan dan pada ketika itu, saya difahamkan tiada salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut dikenal pasti pada tahun 2022,” katanya.
Nazir juga membangkitkan tindakan SPRM memuat naik kandungan berlatarbelakangkan lagu bertemakan ‘penyamun’ ketika siasatan terhadap perkara berkenaan masih berjalan.
Menurut beliau, tindakan tersebut tidak wajar dan tidak profesional memandangkan pada ketika itu beliau belum didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, sebarang kandungan atau kenyataan yang boleh membentuk persepsi awam terhadap seseorang sebelum proses undang-undang selesai perlu diberi perhatian, terutama apabila ia membabitkan sebuah badan penguat kuasa.
“Pada pandangan saya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa,” katanya.
Mengenai tempoh reman selama tujuh hari, Nazir mendakwa hanya satu hari digunakan untuk beliau disoal siasat berhubung isu pelaburan YBR.
Katanya, sepanjang tempoh itu, beliau turut ditanya mengenai pelbagai perkara berkaitan politik yang pada pandangannya tidak mempunyai kaitan dengan alasan utamanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta dana YBR.
Dakwaan itu, katanya, menimbulkan persoalan mengenai skop sebenar siasatan yang dijalankan terhadapnya.
“Saya ingin menjelaskan, satu hari sahaja saya disoal siasat. Selebihnya, ada pelbagai soalan berkaitan politik yang pada pandangan saya tidak mempunyai kaitan dengan alasan utama saya ditahan dan disoal siasat berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta dana YBR,” katanya.
Beliau pada masa sama mempersoalkan penyitaan kereta dan motosikalnya, dengan mendakwa aset berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana YBR.
Menurut Nazir, keadaan tersebut menimbulkan persoalan sama ada terdapat usaha untuk mencari asas atau alasan lain bagi membolehkan beliau didakwa di mahkamah.
Mengulas tindakan seterusnya, Nazir berkata, beliau sedang mendapatkan pandangan serta nasihat guaman berhubung kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak SPRM.
Katanya, antara pilihan sedang dipertimbangkan termasuk tindakan sivil serta apa-apa tindakan undang-undang lain yang bersesuaian.
“Saya kini sedang mendapatkan pandangan serta nasihat guaman berhubung tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan mengambil tindakan sivil dan apa-apa tindakan undang-undang bersesuaian terhadap pihak SPRM,” katanya.
Beliau turut merayu kepada Peguam Negara supaya meneliti keseluruhan perkara itu secara adil dan menyeluruh serta berharap dirinya tidak dijadikan “kambing hitam” atau alat bagi memenuhi kepentingan mana-mana pihak tertentu.
Pada masa sama, beliau menegaskan kesediaannya untuk memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah.
“Saya percaya masyarakat berhak mengetahui fakta sebenar dan saya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah.
“Apa yang saya tuntut hanyalah keadilan, ketelusan dan proses yang adil,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
