KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerjasama gabungan itu dengan Kerajaan Perpaduan akan berakhir sebaik sahaja Parlimen ke-15 dibubarkan memberi isyarat jelas kerjasama politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mempunyai had masa dan tidak semestinya berlanjutan secara automatik ke PRU16.
Beliau menegaskan, BN membuat keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 dan akan mengekalkan komitmen itu sehingga tamat penggal.
Namun, katanya, apabila Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum baharu (PRU16), keadaan politik akan memasuki fasa berbeza dan parti-parti kembali kepada pendirian serta mandat masing-masing.
“Di saat Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka (Kerajaan Perpaduan).
“Dalam keadaan kompleks, kita mahu satu kompas tetap. BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada dalam kerajaan sehingga tamat penggal ke-15.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Kenyataan itu menarik perhatian kerana ia bukan sekadar menjelaskan tempoh kerjasama BN dengan Kerajaan Perpaduan, tetapi turut menyentuh persoalan lebih besar mengenai bentuk hubungan politik antara parti-parti kerajaan apabila negara memasuki pilihan raya akan datang.
Sejak PRU15, landskap politik negara berubah daripada persaingan blok yang lebih jelas kepada pembentukan kerajaan melalui kerjasama beberapa gabungan politik.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
BN yang tidak memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian akhirnya menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.
Dalam konteks itu, penegasan Ahmad Zahid bahawa komitmen BN mempunyai tempoh sehingga pembubaran Parlimen boleh dilihat sebagai usaha membezakan antara kerjasama pentadbiran dengan penyatuan identiti politik parti.
Dengan kata lain, penyertaan BN dalam kerajaan tidak bermakna UMNO dan parti-parti komponen BN kehilangan pendirian masing-masing atau perlu mengikat diri kepada sebarang bentuk kerjasama pilihan raya selepas Parlimen dibubarkan.
Ahmad Zahid sendiri menegaskan, kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identitinya atau berhenti mempunyai pendirian sendiri.
Perkara itu penting dalam memahami kedudukan BN kerana sepanjang tempoh Kerajaan Perpaduan, parti berkenaan terpaksa bergerak dalam ruang politik berbeza daripada pengalaman sebelumnya.
UMNO, sebagai parti teras BN, mempunyai sejarah panjang bersaing dengan DAP dan PH sebelum kedua-dua blok politik itu akhirnya berada dalam satu kerajaan selepas PRU15.
Perubahan itu memerlukan penyesuaian besar di peringkat kepimpinan dan akar umbi, khususnya dalam menjelaskan rasional kerjasama kepada penyokong tradisional.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
