KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, petang semalam.
Pertemuan itu berlangsung hampir sejam selepas Anwar tiba di pekarangan istana kira-kira jam 6 petang dan meninggalkan lokasi berkenaan sekitar jam 7 malam.
Pertemuan itu berlangsung ketika kemelut berhubung kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan memasuki perkembangan baharu selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta pada Ahad malam.
Bagaimanapun, tiada kenyataan dikeluarkan Anwar selepas pertemuan berkenaan.
Perdana Menteri yang menaiki kenderaan rasmi sempat melambai kepada pengamal media yang menunggu di luar istana, namun tidak memberikan ulasan apabila ditanya mengenai pertemuan tersebut.
Sebelum itu, Istana Negeri Sembilan pada Ahad malam memaklumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri selepas baginda mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut peruntukan berkenaan, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selain Menteri Besar, memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ahli-ahli Exco terbabit sebelum itu telah mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Istana turut memaklumkan bahawa susulan pembatalan pelantikan itu, Menteri Besar perlu mengemukakan senarai calon Exco yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz berdasarkan Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Namun, pendirian itu dipersoalkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dalam kenyataan beliau pada Isnin.
Ismail menegaskan sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Exco tanpa nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana anggota Exco Kerajaan Negeri Sembilan berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sehubungan itu, Ismail berpandangan tidak timbul keperluan untuk beliau mengemukakan senarai baharu calon Exco kepada Tuanku Muhriz.
Menurut beliau, barisan Exco sedia ada masih sah dari sudut undang-undang dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Pertembungan pendirian berhubung tafsiran kuasa dan tatacara pelantikan serta penamatan Exco itu kemudian menjadi latar kepada pertemuan Anwar dengan Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan pada petang Isnin.
Sebelum pertemuan itu, pengamal media mula berkumpul di luar istana sejak kira-kira jam 3 petang bagi mengikuti perkembangan kemelut berkenaan. Selain Anwar, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Ismail turut dilaporkan dijangka menghadap Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, setakat Anwar meninggalkan istana sekitar jam 7 malam, tiada kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri mengenai perkara yang dibincangkan bersama Tuanku Muhriz.
Perkembangan itu menjadikan kedudukan barisan Exco Negeri Sembilan sebagai persoalan utama dalam kemelut berkenaan, dengan Istana mengambil pendirian berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, manakala Menteri Besar pula mempertahankan kesahan barisan Exco sedia ada.
Sehingga kini, kedua-dua pendirian berhubung kedudukan Exco tersebut kekal menjadi perkara yang diperdebatkan dari sudut perlembagaan dan undang-undang negeri.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
