Selamatkan Gua Charas: Khazanah Alam Pahang Milik Semua Rakyat

Sambutan Hari Gua dan Karst Antarabangsa 2026 Didedikasikan untuk Mempertahankan Gua Berusia 400 Juta Tahun daripada Kemusnahan

PANCHING -Sempena Hari Gua dan Karst Antarabangsa yang diiktiraf oleh UNESCO disambut buat pertama kalinya pada 13 September 2026 menghimpunkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Pahang dan seluruh Malaysia serta komuniti tempatan diadakan di Gua Charas, Panching, Kuantan, Pahang.

Program yang disertai Gerakan Rakyat Sejahtera (GARAS), Persatuan Mendaki Pahang, Kelab Komuniti Ceria Sungai Lembing, Warga Pahang Prihatin (WATIN), Pertubuhan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau, Pertubuhan Literasi Tanah, GARAH, GERAM dan beberapa NGO lain ini bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan Gua Charas sebagai khazanah geowarisan Pahang yang perlu dipelihara untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Gua Charas yang terletak dalam Bukit Charas, Panching adalah antara sistem gua karst paling signifikan di Asia Tenggara. Formasi batu kapurnya berusia kira-kira 400 juta tahun merupakan khazanah geowarisan Paleozoik yang tidak boleh dihasilkan semula oleh mana-mana kuasa manusia.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Setiap stalaktit dan stalagmit yang terbentuk dalam gua ini mengambil masa ribuan tahun untuk terbentuk dan boleh musnah dalam sekelip mata akibat kecuaian atau perbuatan tidak bertanggungjawab.

Gua Charas juga merupakan habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan liar gua termasuk koloni kelawar yang memainkan peranan ekologi penting dalam ekosistem sekitarnya. Sistem hidrologi karst Bukit Charas turut mempengaruhi kualiti air tanah di kawasan sekitar menjadikannya aset alam sekitar yang kritikal bagi komuniti Panching dan Kuantan.

Potensi Yang Belum Dimaksimumkan

Peserta yang hadir pada program ini sebulat suara menyatakan Gua Charas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi rekreasi alam semula jadi, pelancongan pendidikan dan penyelidikan saintifik bertaraf dunia sekiranya ia diurus dengan betul dan teratur oleh pihak berkuasa.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Laluan semula jadi di sekitar Bukit Charas sesuai untuk aktiviti mendaki alam, penerokaan gua berpandu dan program pendidikan geowarisan untuk pelajar sekolah dan universiti. Kepelbagaian fauna dan flora di kawasan tersebut pula menawarkan peluang pelancongan ekotur yang boleh memberi manfaat ekonomi langsung kepada komuniti tempatan Panching dan Sungai Lembing.

Lebih jauh daripada itu, peserta program menegaskan Bukit Charas mempunyai potensi untuk dicadangkan sebagai tapak Geopark Nasional, malah berpotensi mendapat pengiktirafan Geopark UNESCO pada masa hadapan sekiranya ia dipelihara dengan sewajarnya. Status Geopark seperti ini akan meletakkan nama Pahang dalam peta pelancongan ilmiah dan pendidikan dunia.

Bagaimanapun, peserta turut merakamkan kebimbangan mendalam terhadap keadaan semasa Gua Charas yang didapati semakin terjejas akibat kehadiran binaan-binaan besar yang didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa dalam kawasan gua.

Tinjauan dilakukan ketika program mendapati terdapat struktur dibina dalam dan sekitar gua tanpa mendapat sebarang kelulusan merancang daripada pihak berkuasa tempatan. Kehadiran binaan-binaan tidak berlesen ini menyebabkan gangguan serius kepada ekosistem gua yang rapuh termasuk kerosakan kepada formasi stalaktit dan stalagmit yang memerlukan ribuan tahun untuk terbentuk, pencemaran kepada sistem hidrologi karst yang sensitif serta gangguan kepada habitat fauna gua terutamanya koloni kelawar yang dilindungi.

Peserta dengan tegas menyatakan, sebarang pembangunan dalam kawasan gua tidak kira tujuan atau pihak yang terlibat mesti tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Suara Peserta

Presiden Persatuan Mendaki Pahang, Ahmad Dzulhisyam yang turut serta dalam program berkata, komuniti mendaki sangat menghargai keindahan dan keistimewaan Gua Charas sebagai destinasi semula jadi yang tiada tandingannya di Pahang. Mereka berharap tapak ini dapat diurus sebagai pusat rekreasi dengan lebih baik agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Bendahari Kelab Komuniti Cergas Ceria Sungai Lembing, Adnan Abu pula menyuarakan harapan agar Gua Charas dapat dibangunkan sebagai produk pelancongan yang memberi manfaat terus kepada komuniti setempat seperti mana Sungai Lembing sendiri telah berjaya menarik perhatian pelancong dari seluruh Malaysia dan luar negara.

Wakil Pertubuhan Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau, Muhamad Al Irsyad Mohd Alhamadi menekankan kepentingan menjaga warisan alam sebagai sebahagian daripada tanggungjawab budaya Melayu.

Mereka menegaskan, prinsip “menjaga” dalam tradisi silat merangkumi tanggungjawab menjaga alam sekitar dan warisan bersama bukan sekadar menjaga diri dalam pertarungan.

Pengerusi Persatuan Warga Prihatin Pahang, Abdul Aziz Majid pula menyatakan, rakyat Pahang berhak mengetahui status sebenar pengurusan tapak awam yang bernilai ini.

Mereka menggesa pihak berkuasa untuk bersikap telus dalam menangani isu-isu berkaitan dengan Gua Charas demi kepentingan bersama semua pihak.

Gua Charas sebagai khazanah alam semula jadi dan geowarisan milik bersama adalah hak setiap rakyat Malaysia untuk dinikmati dan dipelihara tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan kepercayaan.

Oleh itu, sebarang tindakan menyekat akses awam kepada tapak ini atau merosakkan keadaannya adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan amanah kepada generasi akan datang.

Sempena Hari Gua dan Karst Antarabangsa 2026, peserta merakamkan komitmen mereka untuk terus memantau, menyuarakan dan memperjuangkan pemeliharaan Gua Charas melalui saluran yang sah dan teratur.

Mereka akan terus mengemukakan aduan dan cadangan kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Warisan Negara, PERHILITAN dan Jabatan Alam Sekitar untuk memastikan tapak geowarisan ini mendapat perlindungan sewajarnya.

Penyelaras GARAS, Mohd Salehudin Sukor turut menyeru kepada seluruh rakyat Pahang dan Malaysia untuk bersama menyokong usaha pemeliharaan Gua Charas dengan cara melaporkan sebarang kerosakan atau pencemaran yang dikesan di tapak ini kepada pihak berkuasa dan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan khazanah geowarisan ini kepada masyarakat sekeliling.

GARAS dan rakan-rakan NGO juga memaklumkan mereka akan menyediakan kertas cadangan komprehensif untuk dikemukakan kepada kerajaan Pahang bagi mencadangkan pembentukan Pelan Pembangunan Rekresasi dan Pelancongan serta Pengurusan Tapak Gua Charas yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *