Oleh: Nik Saiful Adli Burhan
ADA dua istilah dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang pada hemat saya tidak wajar dibaca sepintas lalu, iaitu Agenda Malaysia Biru dan Tafahum Siyasi.
Digabungkan, kedua-duanya membawa makna lebih besar daripada soal kerusi, pilihan raya atau kerjasama sementara antara parti.
Agenda Malaysia Biru ialah kerangka jangka panjang menuju Malaysia yang berdaulat, bersatu, makmur dan disegani.
Tafahum Siyasi pula membawa gagasan persefahaman politik tanpa menghapuskan identiti parti.
Justeru, ia bukan semata-mata janji UMNO dan BN untuk kembali ke Putrajaya atau ajakan sementara kepada PAS. Saya melihatnya sebagai pemikiran strategik seorang pemimpin yang terbukti pernah berjaya menakhodai UMNO ketika parti berada pada antara titik paling getir dalam sejarahnya.
Ahmad Zahid mewarisi sebuah parti yang kehilangan kuasa dan berdepan serangan daripada pelbagai arah. Dalam keadaan itu, politik dendam kadangkala kelihatan lebih dominan daripada politik membina rakyat dan negara.
Ahmad Zahid juga bukan pemimpin yang mudah dibaca pemikirannya. Apabila Agenda Malaysia Biru dan Tafahum Siyasi disatukan, saya melihat petunjuk kepada suatu penyusunan semula landskap politik dengan UMNO dan BN mahu kembali memainkan peranan sebagai peneraju.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, politik Melayu memasuki era perpecahan yang tidak pernah benar-benar dipulihkan. Satu perpecahan melahirkan perpecahan lain sehingga terlalu banyak tenaga bangsa dihabiskan untuk menewaskan sesama sendiri.
Sedangkan dalam tempoh yang sama, persoalan ekonomi, pendidikan, pemilikan, mobiliti sosial dan masa depan generasi Melayu terus menuntut penyelesaian yang lebih besar daripada sekadar perebutan kuasa.
Dalam konteks inilah gagasan Rumah Bangsa acuan Ahmad Zahid perlu difahami.
Ia bukan sekadar membawa pulang bekas pemimpin, tetapi usaha mengumpulkan kembali cebisan perjuangan yang berselerak akibat pertarungan kuasa, termasuk mereka yang tersisih, kecewa atau terkorban dalam perebutan politik.
Tafahum Siyasi pula mengiktiraf bahawa penyatuan tidak semestinya memerlukan penghapusan identiti.
UMNO tidak perlu menjadi PAS. PAS tidak perlu menjadi UMNO.
Perbezaan boleh kekal tanpa memaksa orang Melayu terus bertembung sehingga kekuatan politik sendiri semakin terhakis.
Dua teras ini menjadi gandingan mantap bila Agenda Malaysia Biru memberikan tujuan kepada persefahaman tersebut. Penyatuan tanpa agenda kenegaraan hanya menjadi pakatan pilihan raya, sementara agenda tanpa kestabilan politik sukar diterjemahkan.
Tafahum Siyasi menjawab bagaimana kekuatan disusun, manakala Agenda Malaysia Biru menjawab untuk apa kekuatan digunakan.
Hakikatnya, pertambahan parti Melayu tidak semestinya memperkukuh politik Melayu. Apabila kelompok pengundi yang sama terus dipecahkan kepada pelbagai wadah, kekuatan akhirnya menjadi serpihan.
Lebih banyak logo dan bendera tidak semestinya menghasilkan suara Melayu yang lebih kuat atau agenda Bumiputera yang lebih kukuh.
Menyatukan orang Melayu juga bukan bererti menafikan hak kaum lain atau membina politik ketakutan. Sebaliknya, ia bermaksud menghentikan perpecahan dalaman supaya tenaga politik dapat dialihkan kepada ekonomi, pendidikan, pemilikan aset, teknologi, mobiliti sosial dan pembinaan negara.
Cukuplah 28 tahun negara menjadi gelanggang tinju politik. Sejak 1998, kita menyaksikan pakatan dibentuk dan dipecahkan, pemimpin dijatuhkan serta kerajaan bertukar. Negara tidak boleh selama-lamanya hidup dalam kitaran peperangan politik.
Mungkin kemenangan politik terbesar selepas ini bukan lagi tentang siapa berjaya menjatuhkan siapa, tetapi siapa yang mampu menghentikan kitaran perpecahan itu?
Sebab itulah saya membaca Agenda Malaysia Biru dan Tafahum Siyasi sebagai kemungkinan permulaan kepada penyusunan semula politik nasional.
Jika UMNO benar-benar mahu kembali menjadi Rumah Bangsa dan Tafahum Siyasi diterjemahkan dengan jujur, sudah tiba masanya politik Melayu berhenti bertanya siapa yang harus dikalahkan.
Sebaliknya, kita perlu mula bertanya soalan yang jauh lebih besar, iaitu apakah negara yang mahu kita bina bersama?
Nik Saiful Adli Burhan ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
