KUALA NERUS – Sokongan Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) mengekalkan penganjuran perlumbaan pacuan empat roda (4×4) di Terengganu, terutama ketika kos mengendalikan acara sukan permotoran terus meningkat.
Presidennya, Muhammad Muzzammil Mokhetar, berkata sokongan berkenaan menjadi antara faktor yang membolehkan pihaknya meneruskan Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026, selain memberi peluang kepada pelumba khususnya dari Pantai Timur mendapatkan pentas pertandingan tanpa perlu berbelanja besar untuk menyertai perlumbaan di negeri lain.
“Kos penganjuran saban tahun kian meningkat sama ada terkesan oleh kerana faktor ekonomi semasa mahupun keperluan berkaitan dengan penganjuran yang sememangnya kita tidak dapat untuk dielakkan seperti pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik dan lain-lain yang hadir dengan harganya tersendiri.
“Begitu juga dengan sebarang risiko melibatkan wang ringgit yang ditanggung oleh kami selepas tamat perlumbaan,” katanya.
Muhammad Muzzammil berkata, tanggapan bahawa penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti mampu mengaut keuntungan hanya kerana menerima dana atau penajaan kerajaan tidak menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi mereka.
“Ramai beranggapan menjadi penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti ini seolah-olah kami mudah menjana keuntungan apatah lagi menerima sokongan dana atau penajaan dari kerajaan, realiti sebaliknya.

“Kami pikul tanggungjawab selaku penganjur kerana ketandusan perlumbaan di negeri Pantai Timur ini, di mana ramai dalam kalangan pelumba tidak berkemampuan untuk berlumba di negeri lain,” ujarnya.
Jelasnya, dana diterima melalui GPS hanya menampung kira-kira separuh daripada keseluruhan kos penganjuran, manakala selebihnya ditampung melalui sumbangan kewangan atau sokongan perkhidmatan daripada agensi kerajaan tempatan, penaja kecil dan individu yang mempunyai minat terhadap sukan permotoran.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam pada itu, UT 4×4 turut memastikan dokumentasi laporan penganjuran termasuk perincian perbelanjaan dibentangkan secara telus, yang menjadi antara nilai tambah kepada kelab berkenaan untuk mengekalkan kepercayaan KBS bagi menerima sokongan GPS untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari bermula 5 September lalu dan menghimpunkan 56 pelumba dari seluruh negara dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).
Acara tahunan itu dianjurkan UT 4×4 dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal, selain mendapat sokongan KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
