IQRA’ Sebelum Prompt: Menjaga Akal dan Integriti Ilmu dalam Era AI

TIDAK dapat dinafikan bahawa kemunculan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap pendidikan, penulisan dan penyelidikan secara drastik.

AI menawarkan pelbagai kemudahan, daripada menjana idea, mencari dan meringkaskan maklumat, menyusun teks hinggalah mempercepatkan proses penulisan, sesuatu yang mungkin sukar dibayangkan oleh manusia suatu ketika dahulu.

Namun, di sebalik segala kemudahan tersebut, timbul persoalan yang lebih besar dan wajar direnungkan: sejauh manakah kita boleh memanfaatkan AI tanpa mengorbankan pemikiran kritis, kreativiti dan keaslian ilmu?

Persoalan ini menjadi antara perkara yang diketengahkan dalam salah satu program anjuran USIM Writers’ Pool (UWP) baru-baru ini menerusi perkongsian Profesor Emerita Dato’ Dr. Roshada Hashim, Ahli Kehormat USIM Writers’ Pool, bertajuk “IQRA’ Before You Prompt: Writing, Thinking and Scholarship in the Age of AI”.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Frasa “IQRA’ Before You Prompt” membawa mesej yang cukup signifikan dalam era AI. Perkataan iqra’ yang bermaksud “bacalah” bukan sekadar merujuk kepada aktiviti membaca sebagaimana yang lazim difahami, tetapi turut mengisyaratkan proses memahami, menilai, meneliti dan merenung sesuatu maklumat sebelum menghasilkan respons.

Dalam konteks penggunaan AI, manusia tidak seharusnya terus bergantung kepada arahan atau prompt semata-mata tanpa terlebih dahulu memiliki pengetahuan, kefahaman dan keupayaan untuk menilai maklumat yang diterima.

Mesej yang paling penting adalah AI seharusnya dilihat sebagai alat bantu, bukannya pengganti kepada pemikiran manusia.

Keupayaan AI menghasilkan teks dalam masa yang singkat dan kelihatan meyakinkan tidak semestinya menjamin ketepatan fakta, kedalaman hujah atau keaslian pemikiran.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Justeru, pengguna teknologi yang bijak perlu memiliki literasi digital dan literasi maklumat yang tinggi bagi menyemak kesahihan sumber, mengenal pasti kesilapan serta menilai kewajaran sesuatu maklumat sebelum menerimanya sebagai benar.

Dalam dunia akademik, persoalan ini menjadi lebih kritikal kerana ia berkait rapat dengan integriti ilmu. Penggunaan AI secara tidak beretika berpotensi menjejaskan keaslian penulisan, kredibiliti penyelidikan dan nilai intelektual seseorang.

Penulis dan penyelidik bukan sahaja perlu memastikan bahawa sumber yang digunakan adalah sahih, malah perlu benar-benar memahami idea, hujah dan dapatan yang dikemukakan. Tanggungjawab terhadap sesuatu karya tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi.

Isu ini bukan sekadar persoalan teori. Dalam dunia akademik, terdapat ahli akademik yang berdepan kontroversi dan tindakan susulan berkaitan isu integriti, termasuk plagiarisme dan ketepatan sumber.

Antara kes yang mendapat perhatian ialah Profesor Jason Arday dari University of Cambridge, yang pada Ogos 2026 meletakkan jawatan sebagai profesor dan meninggalkan fellowship di Jesus College ketika universiti tersebut memulakan siasatan baharu berhubung dakwaan plagiarisme dan ketidaktepatan dalam beberapa dakwaan mengenai latar belakang akademiknya.

Arday menafikan tuduhan plagiarisme, manakala siasatan terdahulu terhadap tesis doktor falsafah (Ph.D) beliau tidak menemui bukti plagiarisme yang disengajakan.

Kes ini memperlihatkan bahawa dalam dunia akademik, reputasi dan kredibiliti merupakan aset yang amat berharga.

Pada masa yang sama, ia mengingatkan kita bahawa tuduhan salah laku akademik perlu dinilai berdasarkan bukti dan proses siasatan yang sewajarnya, bukannya semata-mata berdasarkan persepsi.

Dalam era AI, cabaran tersebut menjadi semakin kompleks. Persoalannya bukan lagi sekadar “Siapa yang menulis?”, tetapi juga “Siapa yang berfikir, siapa yang menyemak dan siapa yang bertanggungjawab?” 

Teknologi mungkin mampu menghasilkan ayat yang tersusun dalam beberapa saat, tetapi ia tidak boleh mengambil alih tanggungjawab intelektual manusia untuk memahami, mempertimbang dan mempertanggungjawabkan sesuatu ilmu.

Pada akhirnya, kecanggihan teknologi tidak seharusnya menjadikan manusia semakin malas berfikir. Sebaliknya, AI perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kemampuan manusia membaca, menulis, menganalisis dan menghasilkan ilmu yang lebih bermakna. 

“IQRA’ Before You Prompt” mengingatkan kita bahawa sebelum bertanya kepada mesin, kita perlu terlebih dahulu membaca; sebelum menerima jawapan, kita perlu menilai; dan sebelum menghasilkan karya, kita perlu memahami.

Kerana dalam dunia yang semakin dipenuhi jawapan segera, kemampuan untuk berhenti sejenak, membaca, berfikir dan mempersoalkan mungkin menjadi bentuk kecerdasan manusia yang paling bernilai. 

AI boleh membantu kita menulis dengan lebih pantas, tetapi hanya manusia yang mampu memastikan bahawa apa yang ditulis itu benar-benar difahami, bernilai dan berintegriti.

Rohaida Idris berkhdimat di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Dr. Siti Suriani Othman ialah Presiden dan Pengasas USIM Writers’ Pool, dan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *