UMNO di persimpangan: Antara PH, PN dan krisis kepercayaan akar umbi

Dari Meja Editorial

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2026 mungkin berlangsung seperti biasa dengan ucapan berapi-api, laungan perjuangan dan resolusi yang penuh dengan istilah seperti Melayu, bangsa, agama dan masa depan negara.

Tetapi, di sebalik semua itu UMNO sebenarnya sedang berdepan satu persoalan yang jauh lebih getir, iaitu ke mana parti ini mahu pergi?

Persoalan itu tidak lagi boleh disembunyikan di sebalik slogan, retorik politik atau alasan UMNO masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Hakikatnya, selepas melalui beberapa pilihan raya negeri yang tidak begitu memberangsangkan, UMNO kini berada dalam keadaan yang serba salah.

Parti itu tidak cukup kuat untuk bergerak sendirian seperti era ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kuasa dominan negara, tetapi pada masa sama tidak juga selesa apabila terpaksa bergantung kepada gabungan lain untuk terus berada di tampuk kuasa.

Lebih rumit, rakan dalam kerajaan sendiri iaitu Pakatan Harapan (PH) juga merupakan antara pesaing politik UMNO di akar umbi. Di sinilah dilema sebenar UMNO.

Kerjasama dengan PH memberikan UMNO tempat dalam kerajaan dan kestabilan politik, tetapi pada masa sama menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong tradisional parti – apakah harga yang perlu dibayar untuk terus berada dalam kerajaan?

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Lebih penting, sampai bila UMNO mahu menjelaskan kepada akar umbi bahawa kerjasama dengan PH adalah keputusan strategik, sedangkan dalam pilihan raya, kedua-dua parti masih bertembung dan berebut pengaruh?

PRN Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi isyarat yang cukup jelas. Keputusan pilihan raya bukan sekadar angka kerusi yang dimenangi atau hilang. Ia mencerminkan perubahan sentimen pengundi dan tahap keyakinan terhadap parti.

UMNO tidak boleh terus membaca keputusan pilihan raya hanya berdasarkan faktor calon, pembahagian kerusi atau kesilapan kempen. Ada persoalan yang lebih besar.

Adakah sebahagian pengundi Melayu sudah mula melihat UMNO sebagai parti yang kehilangan arah? Jika persoalan ini tidak dijawab, PAU 2026 mungkin menjadi perhimpunan yang sarat dengan ucapan, tetapi miskin jawapan.

Di tengah-tengah keresahan itu muncul pula PN. PAS dan rakan gabungannya tidak perlu bekerja terlalu keras untuk menarik perhatian sebahagian akar umbi UMNO. Cukup dengan mengangkat naratif bahawa UMNO sudah terlalu lama berkompromi dengan PH dan semakin jauh daripada asas perjuangan Melayu.

Naratif itu mungkin tidak adil sepenuhnya, tetapi politik tidak pernah bergerak hanya berdasarkan keadilan. Politik bergerak berdasarkan persepsi, dan persepsi itulah yang sedang menghantui UMNO.

Jika perwakilan UMNO pada PAU kali ini mula mendesak supaya parti itu kembali mendekati PN, kepimpinan tidak boleh sekadar menganggapnya sebagai suara kecil atau emosi sementara.

Ia mungkin tanda sebahagian akar umbi sedang mencari alternatif kepada formula politik yang ada sekarang. Tetapi, di sinilah persoalan lain muncul. Adakah UMNO benar-benar akan lebih kuat bersama PN? Atau UMNO hanya akan menukar satu bentuk kebergantungan kepada bentuk kebergantungan yang lain?

Jika bersama PH, UMNO berdepan masalah identiti. Jika bersama PN, UMNO pula berdepan persoalan siapa sebenarnya yang akan menjadi kuasa dominan dalam kelompok Melayu.

PAS mempunyai akar umbi yang kuat. UMNO mempunyai sejarah, organisasi dan jaringan politik yang jauh lebih lama. Tetapi, sejarah tidak semestinya menghasilkan kemenangan.

Pilihan raya terbaharu sudah menunjukkan jenama UMNO sahaja tidak lagi mencukupi untuk menjamin sokongan pengundi. Sebab itu, PAU 2026 tidak sepatutnya sekadar menjadi medan untuk menentukan siapa rakan politik UMNO.

Perwakilan sepatutnya bertanya soalan yang lebih tidak selesa kepada kepimpinan parti. Mengapa UMNO kehilangan sokongan? Mengapa sebahagian orang Melayu semakin memilih parti lain? Mengapa generasi pengundi baharu tidak melihat UMNO seperti generasi terdahulu? Dan, apakah yang telah dilakukan oleh parti untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka?

Lebih penting, apakah UMNO sendiri masih mempunyai sesuatu yang baharu untuk ditawarkan kepada rakyat?

Dalam suasana itu, isu Laporan Akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), FELDA dan beberapa isu pentadbiran lain tidak boleh dipandang sebagai gangguan kepada agenda politik parti.

Sebaliknya, isu-isu tersebut menyentuh jantung kepada masalah UMNO – iaitu soal kepercayaan. UMNO selama puluhan tahun membina imej sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Tabung Haji dan FELDA pula bukan sekadar institusi biasa bagi sebahagian besar masyarakat Melayu. Ia mempunyai nilai sejarah, ekonomi dan emosi.

Justeru, apabila timbul persoalan berkaitan pengurusan, integriti atau penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan tokoh politik UMNO, kesannya tidak berhenti pada individu.

Ia boleh mempengaruhi persepsi terhadap parti secara keseluruhan. UMNO tidak boleh mengharapkan rakyat membezakan antara individu bermasalah dengan parti sekiranya parti sendiri gagal menunjukkan pendirian yang tegas mengenai integriti.

Di sinilah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan ujian. Sebagai Presiden UMNO dan tonggak utama BN dalam Kerajaan Perpaduan, Zahid perlu mengimbangi dua dunia yang semakin sukar disatukan.

Di Putrajaya, beliau perlu memastikan Kerajaan Perpaduan terus stabil. Di peringkat akar umbi, beliau perlu meyakinkan ahli UMNO bahawa parti tidak sedang mengorbankan prinsipnya demi jawatan dan kuasa. Kedua-duanya bukan tugas mudah.

Jika terlalu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, beliau mungkin dituduh mengabaikan sentimen akar umbi. Jika terlalu mengikut tekanan akar umbi untuk menjauhkan diri daripada PH, kestabilan kerajaan pula boleh tergugat.

Justeru, PAU kali ini mungkin menjadi ujian terbesar terhadap kemampuan Zahid membaca denyut nadi partinya sendiri. Perwakilan mungkin tidak lagi mahu mendengar jawapan yang terlalu diplomatik. Mereka mahu tahu dengan jelas, apakah UMNO mahu bersama PH hingga PRU16, atau sedang menyediakan jalan keluar?

Jika mahu kekal dalam Kerajaan Perpaduan, apakah keuntungan politik kepada UMNO? Jika mahu bekerjasama dengan PN, apa jaminan UMNO tidak sekadar menjadi rakan kecil? Dan, jika UMNO mahu bergerak sebagai kuasa ketiga, apakah kekuatan sebenar yang dimiliki untuk melakukannya?

Tidak ada jawapan mudah kepada semua persoalan itu. Namun, satu perkara semakin jelas. UMNO tidak boleh terus hidup dalam keadaan politik yang samar-samar. UMNO perlu membuat pilihan. Bukan semata-mata memilih PH atau PN, tetapi memilih identiti politiknya sendiri.

Masalah UMNO hari ini bukan kerana kekurangan sejarah. Bukan juga kerana kekurangan tokoh. Masalahnya mungkin kerana terlalu lama parti itu bergantung kepada sejarah untuk menjelaskan masa depannya.

Pengundi hari ini tidak mengundi kerana nostalgia. Mereka mengundi berdasarkan kepentingan, prestasi, keyakinan dan masa depan. Jika UMNO mahu kembali menjadi parti pilihan utama orang Melayu, ia perlu menawarkan lebih daripada nostalgia terhadap zaman BN berkuasa. Ia perlu menunjukkan UMNO masih mempunyai sebab untuk dipilih.

Sebab itu, PAU 2026 harus dilihat sebagai peluang terakhir untuk melakukan muhasabah yang serius sebelum PRU16. Jika perhimpunan ini sekali lagi dipenuhi dengan retorik mengenai ancaman terhadap Melayu, tetapi tidak membincangkan mengapa orang Melayu sendiri semakin menjauhkan diri daripada UMNO, maka parti itu sebenarnya sedang bercakap kepada dirinya sendiri.

Jika perwakilan hanya sibuk menentukan sama ada PH atau PN lebih sesuai dijadikan rakan, tanpa bertanya mengapa UMNO sendiri gagal menjadi pilihan utama, masalah sebenar parti tidak akan selesai.

Begitu juga, jika kepimpinan hanya melihat PAU sebagai mekanisme untuk mendapatkan mandat mempertahankan kedudukan politik sedia ada, UMNO mungkin terlepas peluang paling penting – peluang untuk membina semula kepercayaan.

Akhirnya, persoalan terbesar PAU 2026 bukanlah sama ada UMNO akan memilih PH atau PN. Persoalan sebenarnya ialah sama ada UMNO masih mampu memilih dirinya sendiri. Memilih untuk berubah. Memilih untuk membersihkan imejnya. Memilih untuk mendengar suara akar umbi. Memilih untuk memperbaharui kepimpinan dan pemikiran. Dan, paling penting memilih untuk kembali meyakinkan rakyat parti itu masih relevan untuk memimpin, bukan sekadar relevan untuk berunding mengenai pembahagian kuasa.

Jika tidak, UMNO mungkin terus berada dalam kerajaan. Tetapi, berada dalam kerajaan tidak semestinya bermakna masih mempunyai kuasa politik. Itulah paradoks terbesar UMNO hari ini.

Parti itu masih memegang jawatan. Tetapi, sedang berusaha mendapatkan semula kepercayaan, dan tanpa kepercayaan, kuasa yang ada hari ini mungkin sekadar pinjaman yang menunggu masa untuk tamat tempoh. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *