SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melakar sejarah apabila sebahagian besar sasaran yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya dicapai dan melebihi jangkaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MAHA 2026 merekodkan kira-kira 4.3 juta pengunjung, termasuk 1.7 juta golongan belia sepanjang ia berlangsung dari 28 Ogos hingga semalam.
“Saya yakin sampai 10 malam ini, jumlah pengunjung akan melebihi lima juta. Sasaran kami empat juta orang, maksudnya lebih satu juta manakala penglibatan pempamer mencecah 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup MAHA 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Mohamad berkata dari segi nilai jualan pula, MAHA 2026 merekodkan RM66.88 juta, melebihi sasaran RM58 juta yang ditetapkan.
“Memorandum persefahaman (MoU) juga berjaya dimeterai, melibatkan kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan kira-kira RM10.3 bilion berbanding sasaran RM8 bilion,” katanya.
Beliau berkata MAHA 2026 bukan pengakhiran kepada usaha memperkukuh sektor pertanian negara, sebaliknya menjadi lonjakan baharu ke arah transformasi sektor berkenaan.
“Segala pemeteraian perjanjian, jalinan perkongsian teknologi dan ilham yang dizahirkan sepanjang pameran ini mestilah disusuli dengan tindakan susulan yang pantas agar manfaatnya terus sampai kepada para petani, peladang, penternak, nelayan dan pengguna di luar sana,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagi penganjuran MAHA akan datang, Mohamad berharap platform berkenaan terus berkembang sebagai hab inovasi agromakanan terunggul di rantau ini.
“Kami akan terus berusaha menarik lebih ramai penyertaan anak muda dan modal insan berkemahiran tinggi ke dalam ekosistem pertanian, selaras dengan matlamat untuk membina sebuah negara yang mandiri, berdaya tahan dan terjamin dari segi bekalan makanan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata defisit imbangan dagangan negara dalam sektor agromakanan tahun ini terus mencatatkan penurunan sebanyak 26.4 peratus bagi tempoh sehingga Mei 2026.
Beliau berkata nilai eksport meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion manakala nilai import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
