Pencalonan Pengarah Terbaik FFM-33 pengiktirafan usaha keras pasukan - Sabri Yunus

Sabri Yunus: Kembali ke Universiti pada Usia 65 Tahun

PADA usia 65 tahun, ketika ramai memilih untuk memperlahankan langkah kehidupan, seniman, pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus memilih untuk kembali membuka lembaran ilmu.

Beliau menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, sebuah langkah yang bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi, tetapi juga meneruskan perjalanan pendidikan yang pernah terhenti lebih empat dekad lalu.

Sabri mengimbau kembali kenangannya ketika menuntut di Institut Pendidikan (IP), Kota Bharu pada 1981.

“Alhamdulillah, dari IP bawah tangga stadium Kota Bharu ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, akhirnya 1981 di IP dan 2026 di UPSI,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Di sebalik kepulangannya ke dunia akademik itu tersimpan kisah kehidupan yang cukup manusiawi.

Sabri pernah tidak mengambil keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana mempunyai tunggakan bayaran RM180. Wang bulanan RM36 yang diberikan bapanya selama lima bulan tidak dibayar kerana banyak dihabiskan untuk menonton wayang di pawagam Lido, Rex dan Odeon di Kota Bharu.

Apabila keputusan diumumkan, bapanya memberikan RM180 supaya beliau mengambil keputusan tersebut.

Namun, berdiri di hadapan bilik guru dengan wang dalam poket, Sabri berubah fikiran.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

“Kalau keputusan tak bagus, tak lulus, terbang RM180 duit ayah, jadi aku buat keputusan tak ambil,” katanya.

Beliau kemudian memulangkan wang itu kepada bapanya dan memberitahu bahawa beliau merasakan dirinya tidak lulus.

Apabila seorang rakan bapanya bertanya tentang keputusan tersebut, bapanya menjawab terlebih dahulu: “Dapat 3 P — pembohong, pemalas, pemonteng.”

Kenangan itu menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang Sabri dalam mencari ilmu.

Pada 1980-an, ketika bekerja sebagai artis susun atur di Majalah Dewan Sastera, beliau pernah mendapat bantuan Sutung Umar RS untuk menyambung pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka di ITM, kini UiTM. Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian kerana DBP tidak dapat memberikan cuti bergaji, manakala beliau tidak mampu mengambil cuti tanpa gaji.

Beberapa tahun kemudian, peluang kedua muncul apabila Dr Zainal Latiff dari USM menyarankannya menyambung pengajian dalam bidang teater. Sekali lagi, keadaan pekerjaan menghalang hasrat tersebut.

Kini, selepas lebih 40 tahun, pintu itu terbuka sekali lagi.

Bezanya, kali ini Sabri tidak lagi terikat dengan keperluan mendapatkan cuti daripada majikan.

Tiga peluang pendidikan yang pernah hadir dalam hidupnya menawarkan bidang yang berbeza — seni lukis dan seni reka, seni lakon dan kini seni sastera. Namun kesemuanya bertemu pada satu titik: kecintaannya terhadap seni dan ilmu.

“Dalam usia macam ini dan aku tidak terikat, aku tak perlu minta cuti daripada mana-mana pihak. Aku terima tawaran dengan sangat senang hati dan bersemangat. Semangat untuk anak-anak,” katanya.

Yang lebih mengharukan, bapanya sudah lama meninggal dunia dan tidak sempat menyaksikan pencapaian tersebut.

Namun, kira-kira sebulan sebelum ibunya, atau Mek, meninggal dunia pada 5 Ogos lalu, Sabri sempat membisikkan kepadanya bahawa beliau akan menyambung pengajian.

“Sebulan sebelum Mek meninggal 5 haribulan 8 lalu, aku sempat bisikkan yang aku akan sambung belajar.”

Mungkin itulah makna paling dalam di sebalik keputusan Sabri untuk kembali ke universiti.

Ia bukan sekadar tentang ijazah atau gelaran akademik. Ia tentang cita-cita yang pernah tertangguh, tentang ibu dan ayah yang menjadi akar perjuangan, dan tentang keyakinan bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia.

Pada usia 65 tahun, Sabri Yunus kembali menjadi pelajar.

Bukan kerana beliau masih mengejar masa lalu, tetapi kerana beliau percaya masih ada sesuatu yang perlu dipelajari sebelum perjalanan hidup benar-benar sampai ke penghujungnya.

Dari bawah tangga stadium Kota Bharu pada 1981 ke kampus UPSI pada 2026 — itulah perjalanan seorang manusia yang membuktikan bahawa cita-cita mungkin tertangguh, tetapi tidak semestinya berakhir.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *