KUALA LUMPUR – Seni Jaya Corporation Bhd. mencatat hasil RM81.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (TK2026), meningkat 17 peratus daripada RM69.7 juta setahun sebelumnya, disokong pengembangan rangkaian papan iklan serta permintaan berterusan terhadap format media luar rumah (OOH) digital.
Berdasarkan prestasi teras atau dinormalisasi yang didedahkan kumpulan, PAT teras kekal positif pada RM8.5 juta dengan margin 10 peratus, berbanding RM13.3 juta pada TK2025.
Penyederhanaan PAT teras sepanjang tahun terutama disebabkan peruntukan cukai dan susut nilai lebih tinggi, selain ketiadaan pembayaran balik RM2 juta daripada syarikat bersekutu yang diiktiraf pada tahun sebelumnya.
Pada suku keempat TK2026, hasil kumpulan meningkat 6 peratus kepada RM16.7 juta daripada RM15.8 juta, dengan pendapatan papan iklan digital bertambah RM2.3 juta atau 35 peratus tahun ke tahun, mencerminkan permintaan pengiklan terhadap format digital berimpak tinggi.
Bagaimanapun, peningkatan itu sebahagiannya diimbangi penurunan RM0.9 juta atau 49 peratus dalam hasil pengeluaran, manakala kumpulan mencatat kerugian selepas cukai teras RM1.9 juta bagi suku berkenaan berbanding keuntungan teras RM1 juta setahun sebelumnya.
Seni Jaya berkata, prestasi suku keempat itu terjejas terutama oleh hasil lebih rendah susulan konflik Timur Tengah yang bermula pada Februari 2026, menunjukkan ketidaktentuan geopolitik masih mempengaruhi keputusan perbelanjaan pengiklan.
Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya Corporation Bhd, Jeff Cheah See Heong berkata, TK2026 mencerminkan pengembangan berterusan dalam platform OOH syarikat, dengan pendapatan meningkat kepada RM81.8 juta dan perniagaan teras atau normalisasi kami kekal menguntungkan untuk sepanjang tahun.
See Heong berkata keputusan berkanun kumpulan terjejas ketara oleh penurunan nilai muhibah bukan tunai RM13.6 juta berkaitan pengambilalihan Vision OOH Sdn Bhd, yang tidak mewakili aliran keluar tunai operasi. Kumpulan turut merekodkan penurunan nilai inventori RM1.6 juta bagi TK2026.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Walaupun terkesan item bukan teras berkenaan, tunai bersih daripada aktiviti operasi meningkat 19 peratus kepada RM25.7 juta daripada RM21.6 juta, manakala jumlah ekuiti mengukuh kepada RM96.6 juta daripada RM80.8 juta. Kumpulan turut membayar dividen interim pertama satu sen sesaham, berjumlah kira-kira RM2.1 juta.
Seni Jaya memperluas platform OOH menerusi pengambilalihan Vision OOH yang selesai pada April 2026, diikuti Ganad Media Sdn. Bhd. pada Julai dan Unilink Group pada Ogos, sekali gus memperbesar jejak nasional serta asas aset premium kumpulan.
Kumpulan turut menyelesaikan penempatan persendirian melibatkan penerbitan 50 juta saham baharu yang mengumpul hasil kasar RM20.12 juta.
“Ketika melangkah ke TK2027, keutamaan kami adalah untuk mengintegrasikan asas aset yang diperbesarkan, meningkatkan penggunaan dan terus mengalihkan inventori terpilih ke arah format digital bernilai lebih tinggi,” kata See Heong.
Melangkah ke TK2027, Seni Jaya akan terus membangunkan tapak papan iklan premium, menukar aset statik terpilih kepada format digital dan merealisasikan sinergi rangkaian yang lebih besar.
Dengan Vision OOH, Ganad Media dan Unilink sudah digabungkan ke dalam platform pertumbuhan, kumpulan melihat asas lebih kukuh untuk meningkatkan pendapatan berulang, penggunaan aset dan keuntungan jangka panjang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
