KUALA LUMPUR – Senheng New Retail Bhd. mahu mengurangkan kebergantungan kepada promosi jangka pendek dan perang harga dengan membina ekosistem pelanggan yang lebih produktif menerusi Ekonomi Berasaskan Mata (PBE) serta S-Coin, dalam usaha menggalakkan pembelian berulang dan meningkatkan pengekalan pelanggan.
Pengarah Urusan Senheng New Retail Bhd, Lim Kim Heng berkata, keutamaan kumpulan adalah mewujudkan hubungan pelanggan yang lebih mendalam merentasi saluran fizikal dan digital, berbanding bergantung sepenuhnya kepada potongan harga sebagai pemacu jualan.
“Keutamaan kami adalah untuk membina ekosistem pelanggan yang lebih produktif dan bukannya bergantung sepenuhnya pada promosi jangka pendek atau perang harga,” katanya.
Kim Heng berkata, PBE dan S-Coin direka untuk menggalakkan pembelian berulang yang mampan serta memperkukuh hubungan pelanggan, dengan penyertaan pada skala lebih besar dijangka menyokong pengekalan pelanggan dan penukaran jualan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Strategi itu dilaksanakan ketika Senheng mencatat hasil RM236.7 juta bagi suku kedua TK2026, lebih rendah berbanding RM270.4 juta setahun sebelumnya, mencerminkan corak perbelanjaan pengguna yang kekal selektif terutama bagi produk elektrik dan elektronik bernilai tinggi.
Walaupun hasil menurun, margin keuntungan kasar meningkat kepada 22.7 peratus daripada 21 peratus, manakala keuntungan kasar susut pada kadar lebih perlahan sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun, mencerminkan tumpuan kumpulan terhadap kualiti jualan, campuran produk dan pelaksanaan promosi secara berdisiplin.
Senheng turut meningkatkan disiplin kos apabila perbelanjaan operasi dan pentadbiran menurun kepada RM56 juta daripada RM57.2 juta, manakala kos kewangan berkurang 32.1 peratus kepada RM0.9 juta. Kerugian sebelum cukai mengecil kepada RM1.2 juta daripada RM1.5 juta pada suku sebelumnya.
Kim Heng berkata, PBE merupakan transformasi kesembilan yang dilaksanakan Senheng sejak 1989 dan setiap fasa transformasi memerlukan pelaburan serta masa sebelum mencapai tahap penerimaan yang matang dan berskala.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kata beliau, pendekatan syarikat adalah untuk membina sambil mengekalkan kos operasi dan modal kerja yang ketat sambil menambah margin kasar bertambah baik serta kerugian sebelum cukai yang mengecil memberi ruang kepada kumpulan meneruskan agenda transformasinya.
Pada masa sama, Senheng mengakui landskap persaingan sedang berubah apabila lebih banyak permintaan elektronik pengguna Malaysia dipenuhi platform dalam talian rentas sempadan yang menjual terus kepada pengguna tempatan, sekali gus membentuk semula pasaran runcit elektronik.
Kim Heng berkata, Senheng mengalu-alukan persaingan tetapi berharap keperluan berkaitan cukai, buruh, keselamatan produk dan pensijilan termasuk SIRIM digunakan secara konsisten kepada semua penjual yang menjangkau pengguna Malaysia.
“Kami berharap persaingan diputuskan berdasarkan perkhidmatan, kualiti produk dan nilai,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Senheng akan terus melaksanakan PBE dan S-Coin sebagai pemacu penglibatan pelanggan serta penukaran omnichannel, sambil mengurus kos dan modal kerja secara berhemat.
Kumpulan mempunyai tunai dan bank RM103.9 juta setakat 30 Jun 2026, manakala pinjaman turun kepada RM34 juta, sekali gus memberikan ruang kewangan untuk meneruskan transformasi pada separuh kedua TK2026.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
