Oleh: Nur Farhana Natasya Md. Jamil
SUMATERA BARAT, Indonesia – Kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda terus diperkasa menerusi penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan antarabangsa, khususnya usaha pemulihan ekosistem yang terjejas akibat kebakaran hutan.
Sehubungan itu, seramai 26 mahasiswa bersama seorang pegawai pengiring dari Kelab Prime Mover, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menyertai Program Lestari Alam @ Rimba Satwa Foundation di Lembah Harau, Kabupaten Lima Puluh Kota, Provinsi Sumatera Barat, Indonesia pada 13 Ogos lalu.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Global Volunteer Mission to West Sumatra and Riau, Indonesia yang memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti secara lestari.
Lembah Harau yang pernah terjejas akibat kebakaran hutan menjadi lokasi pelaksanaan aktiviti restorasi habitat yang melibatkan kerjasama mahasiswa, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Kebakaran hutan bukan sahaja memusnahkan kawasan hijau dan habitat hidupan liar, malah turut memberi kesan terhadap keseimbangan ekosistem serta kehidupan masyarakat yang bergantung kepada sumber alam sekitar.
Justeru, usaha pemulihan habitat menjadi satu langkah penting dalam membantu mengembalikan fungsi ekosistem yang terjejas, di samping membina semula kesedaran dan semangat komuniti untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam.
Dalam usaha itu, Kelab Prime Mover UiTM tampil melaksanakan aktiviti restorasi habitat melalui penanaman semula pokok serta pemuliharaan kawasan hutan dengan kerjasama Rimba Satwa Foundation (RSF).
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Penglibatan mahasiswa dalam program berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada pemulihan alam sekitar, malah memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal mengenai cabaran pemuliharaan biodiversiti di peringkat global.
Program itu turut memberi penekanan kepada kepentingan mewujudkan keseimbangan antara keperluan asas manusia dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar bagi memastikan sumber semula jadi terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Antara pengisian utama program ialah Aktiviti Restorasi Habitat dan Penanaman Pokok Ekonomi yang memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kawasan alam sekitar yang mengalami kerosakan atau kemerosotan.
Menerusi aktiviti itu, peserta menanam pelbagai spesies pokok ekonomi seperti avokado, durian dan manggis sebagai sebahagian daripada usaha menghijaukan semula kawasan yang terjejas.

Pemilihan spesies pokok ekonomi berkenaan dilihat mampu memberikan manfaat berganda kepada alam sekitar dan komuniti. Selain membantu memulihkan kawasan hijau serta menyokong kepelbagaian biodiversiti, tanaman tersebut berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan kepada masyarakat setempat pada masa hadapan.
Pendekatan itu membuktikan usaha pemuliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan seiring dengan pembangunan sosioekonomi masyarakat menerusi konsep pembangunan lestari.
Selain aktiviti restorasi habitat, mahasiswa turut menyertai Aktiviti Laluan Denai dan Inventori Biodiversiti bagi meninjau keadaan kawasan hutan serta meningkatkan pemahaman peserta terhadap kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Lembah Harau.
Menerusi kerjasama rapat dengan RSF, para peserta turut menjalankan aktiviti pembersihan sisa buangan di sepanjang laluan denai hutan bagi membantu memastikan kawasan habitat hidupan liar kekal bersih dan selamat.
Aktiviti tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami secara lebih dekat cabaran yang dihadapi oleh NGO dan komuniti setempat dalam usaha memelihara khazanah alam.
Pengalaman turun padang berkenaan secara tidak langsung memperkukuh kemahiran praktikal, kerja berpasukan dan keupayaan mahasiswa dalam menangani isu alam sekitar secara lebih bertanggungjawab.
Pada masa sama, interaksi bersama komuniti setempat turut memperlihatkan bahawa kelestarian alam bukan hanya bergantung kepada usaha sesebuah organisasi, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak secara berterusan.
Kerjasama antara organisasi, sukarelawan dan komuniti juga berpotensi membina semula keyakinan, semangat kebersamaan serta harapan masyarakat yang terkesan akibat bencana alam.
Penasihat Program, Khairolizwan Harry berkata, penglibatan mahasiswa dalam misi kesukarelawanan antarabangsa seperti itu mampu memperkasa golongan muda sebagai pemangkin perubahan atau agent of change.
Menurut beliau, pengalaman melaksanakan aktiviti secara langsung bersama komuniti dapat membantu mahasiswa membina pengetahuan dan kemahiran, selain meningkatkan kepekaan terhadap isu alam sekitar yang berlaku di peringkat global.
Beliau turut menegaskan, program seumpama itu penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik, tetapi turut mempunyai kesedaran sivik, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap kelestarian alam.
Sementara itu, Pengarah Program, Syazwan Ariff Syahrul Nazry berharap, program berkenaan dapat menjadi batu loncatan kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, penglibatan aktif golongan mahasiswa dalam inisiatif yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mampu memperluas pengalaman mereka di luar bilik kuliah, di samping memberi peluang untuk menyumbang kepada komuniti dan alam sekitar.
Program Lestari Alam @ Rimba Satwa Foundation turut membuktikan pendidikan tinggi mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi muda yang mempunyai kesedaran terhadap isu kelestarian dan bersedia mengambil tindakan untuk menangani cabaran alam sekitar.
Secara keseluruhannya, program tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang bernilai kepada peserta, malah berjaya menyemai nilai kepimpinan, semangat berpasukan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam diri mahasiswa.
Lebih daripada sekadar aktiviti penanaman pokok dan pembersihan kawasan, misi kesukarelawanan di Lembah Harau menjadi platform pendidikan luar bilik kuliah yang menghubungkan ilmu, pengalaman dan tindakan sebenar dalam pemuliharaan alam sekitar.
Inisiatif seperti ini wajar diteruskan dan diperluas oleh institusi pendidikan tinggi bagi menggalakkan lebih ramai mahasiswa menjadi sukarelawan serta memainkan peranan aktif dalam menangani isu alam sekitar di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa.
Melalui penglibatan generasi muda dalam usaha pemulihan habitat, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti, kelestarian alam dapat diperkasa secara lebih menyeluruh demi menjamin persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, Indonesia, Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
