KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice atau Ariz Ramli, 40, diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada Ebit Lew selepas Mahkamah Sesyen di sini, mendapati terdapat unsur fitnah dalam penerbitan beberapa kenyataan berkaitan pendakwah dan penceramah bebas itu pada 2023.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor turut memerintahkan Caprice memohon maaf kepada Ebit, selain memadamkan tujuh kenyataan yang diterbitkan menerusi platform media sosialnya bersama seorang pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo.
Kesemua arahan berkenaan perlu dilaksanakan dalam tempoh 48 jam dari tarikh keputusan mahkamah.
Mahkamah pada masa sama turut mengeluarkan perintah supaya Caprice tidak lagi menerbitkan, mengeluarkan atau membuat sebarang komen dan kenyataan berkaitan Ebit pada masa akan datang.
Dalam penghakiman sama, mahkamah menolak tuntutan balas yang dikemukakan Caprice terhadap Ebit selepas mendapati tuntutan tersebut tidak mempunyai asas.
Ebit, 42, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, sebelum ini memfailkan saman terhadap Caprice berhubung beberapa kandungan yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.
Pertikaian berkenaan tercetus susulan penerbitan satu rakaman video oleh Caprice pada 15 September 2023 yang menampilkan Mondy sebagai tetamu dalam kandungan tersebut.
Menurut tuntutan Ebit, kandungan video berkenaan memberikan gambaran kepada penonton, yang beliau melakukan gangguan seksual serta mengambil kesempatan terhadap Mondy.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ebit turut mendakwa dirinya digambarkan sebagai seorang individu yang tidak bertanggungjawab, selain didakwa menggunakan agama bagi kepentingan tertentu.
Beliau mendakwa, penerbitan kandungan berkenaan dilakukan dengan niat jahat tanpa Caprice terlebih dahulu mendapatkan pengesahan fakta daripadanya atau peguam yang mewakilinya.
Ebit juga mendakwa penerbitan video dan kenyataan berkaitan itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan pengikut akaun YouTube Caprice.
Menurutnya, ruangan komen pada kandungan berkenaan turut dipenuhi komen berunsur cacian, makian dan kecaman terhadap dirinya sehingga menjejaskan reputasi serta imejnya.
Plaintif turut mendakwa beberapa kenyataan yang disiarkan oleh Caprice dan Mondy mengandungi unsur fitnah sehingga menyebabkan beliau menerima kecaman daripada orang ramai dan menjadi bahan ejekan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa apabila polis pada 29 September 2023 memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung laporan berkaitan dakwaan gangguan seksual dan fitnah yang membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.
Bagaimanapun, prosiding di Mahkamah Sesyen itu tertumpu kepada tuntutan sivil Ebit terhadap Caprice berhubung penerbitan kenyataan yang didakwa memfitnahnya.
Dalam prosiding tersebut, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Caprice diwakili peguam Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal.
Mengulas keputusan mahkamah menerusi hantaran di Facebook, Ebit menzahirkan rasa syukur selepas mahkamah memutuskan perkara itu memihak kepadanya.
Beliau berkata, Caprice diperintahkan memohon maaf berhubung kenyataan yang diputuskan sebagai fitnah, selain membayar ganti rugi berjumlah RM220,000.
Sementara itu, Caprice menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen berkenaan.
Dengan keputusan itu, pertikaian undang-undang antara kedua-dua pihak kini dijangka berlanjutan ke peringkat rayuan selepas Caprice menyatakan hasrat untuk mencabar keputusan berkenaan di mahkamah lebih tinggi.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
