Graduan Seni Bukan Tukang Lukis, Mereka Tenaga Kreatif Masa Depan

Oleh: Dr. Hishamuddin Siri

SETIAP kali seseorang pelajar memilih bidang seni, soalan yang sering muncul hampir sama: “Nanti kerja apa?” Ada juga yang bertanya dengan nada lebih sinis, “Boleh hidupkah dengan seni?”

Soalan sebegini mungkin kelihatan biasa, tetapi sebenarnya mendedahkan satu masalah besar dalam masyarakat kita, iaitu seni masih dilihat terlalu sempit, seolah-olah graduan seni hanya akan menjadi pelukis, pengarca, penghias atau penghasil karya di galeri. Pandangan ini bukan sahaja ketinggalan, tetapi juga tidak lagi sesuai dengan realiti dunia pekerjaan hari ini.

Dalam zaman ekonomi digital, media sosial, kecerdasan buatan, data raya, permainan digital, animasi, filem, reka bentuk pengalaman pengguna, fotografi, kandungan kreatif dan budaya visual, graduan seni tidak lagi bergerak dalam ruang studio semata-mata.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Mereka berada dalam ekosistem yang jauh lebih luas, termasuk industri kreatif, pendidikan, media, teknologi, warisan budaya, pelancongan, komunikasi korporat, keusahawanan dan pembangunan komuniti. Masalahnya, masyarakat masih melihat seni melalui kerangka lama.

Seni dianggap sebagai bakat, minat atau hobi, bukan sebagai bidang ilmu, kemahiran profesional dan sektor ekonomi. Akibatnya, graduan seni sering perlu membuktikan nilai mereka berkali-kali.

Mereka bukan sahaja perlu menghasilkan kerja yang baik, tetapi juga perlu menjelaskan bahawa kerja kreatif ialah kerja sebenar, memerlukan kepakaran, masa, latihan, pemikiran dan disiplin profesional. Hakikatnya, industri budaya dan kreatif bukan sektor kecil.

Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Cultural and Creative Satellite Account 2024 melaporkan, industri budaya dan kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia pada tahun 2024, dengan nilai RM130.7 bilion.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Angka ini sepatutnya membuka mata bahawa bidang kreatif bukan aktiviti pinggiran, tetapi mempunyai sumbangan yang jelas kepada ekonomi negara (Department of Statistics Malaysia, 2025).

Pada peringkat global pula, UNESCO menyatakan, industri budaya dan kreatif merupakan antara sektor yang pesat berkembang. Sektor ini menjana hasil tahunan yang besar serta menyediakan hampir 30 juta pekerjaan di seluruh dunia.

Ini bermakna seni dan kreativiti tidak boleh lagi dibaca sebagai bidang kecil yang hanya hidup di ruang pameran, tetapi sebagai sebahagian daripada ekonomi, teknologi dan pembangunan sosial (UNESCO, 2023).

Namun, kita juga tidak boleh terlalu romantik dengan mengatakan bidang seni pasti menjanjikan masa depan yang mudah. Realitinya, ramai pekerja kreatif masih berdepan cabaran besar, termasuk pendapatan tidak stabil, kerja kontrak, bayaran yang tidak setimpal, perlindungan sosial yang lemah dan peluang industri yang tidak seimbang.

Inilah sisi yang jarang dibincangkan secara jujur. Mempertahankan nilai seni tidak bermaksud menutup mata terhadap kelemahan ekosistem kreatif. Di sinilah persoalan sebenar muncul.

Jika industri kreatif sudah diiktiraf sebagai penyumbang ekonomi negara, mengapa masih ramai graduan seni dianggap kurang mempunyai masa depan? Jika kemahiran kreatif semakin diperlukan dalam dunia kerja, mengapa pendidikan seni masih sering dilihat sebagai pilihan kedua? Jika negara mahu bercakap tentang ekonomi kreatif, inovasi dan teknologi, mengapa graduan seni masih dilihat sekadar pelukis?

Graduan seni sebenarnya dilatih untuk melakukan lebih daripada menghasilkan imej yang cantik. Mereka belajar membaca simbol, memahami budaya, membina naratif, menyusun makna, mengurus idea, menyelesaikan masalah dan menyampaikan mesej kepada khalayak.

Mereka dilatih untuk melihat dunia dengan cara yang berbeza. Dalam dunia yang semakin dipenuhi imej, jenama, skrin, kandungan digital dan pengalaman visual, kemahiran seperti ini semakin strategik.

Laporan Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum menyenaraikan AI dan data raya, keselamatan siber, literasi teknologi serta pemikiran kreatif dan analitikal sebagai antara kemahiran penting dalam pasaran kerja masa depan.

Ini menunjukkan masa depan pekerjaan bukan lagi memilih antara seni atau teknologi, tetapi menuntut gabungan kedua-duanya (World Economic Forum, 2025).

Maka, graduan seni tidak boleh lagi hanya disediakan untuk menjadi penghasil karya konvensional. Mereka perlu bersedia menjadi tenaga kreatif yang celik teknologi, mampu memahami AI, berani meneroka STEM dan mampu bergerak dalam kerangka STEAM, iaitu gabungan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik.

Perkembangan kecerdasan buatan menjadikan isu ini lebih mendesak. AI kini boleh menghasilkan imej, video, rekaan, muzik, teks dan kandungan visual dalam masa yang sangat singkat. Bagi sesetengah pihak, ini dilihat sebagai ancaman kepada bidang seni.

Namun ancaman sebenar bukanlah AI semata-mata, tetapi kegagalan graduan seni untuk memahami bagaimana teknologi ini mengubah proses kerja kreatif. Pelajar seni hari ini tidak cukup hanya mahir melukis, mengambil gambar, menghasilkan video atau membina objek seni.

Mereka perlu tahu bagaimana AI boleh digunakan untuk membina idea, membuat eksplorasi visual, mempercepatkan proses lakaran, mencipta simulasi, menganalisis imej, menyusun portfolio dan memperluas kemungkinan kreatif.

Tetapi pada masa yang sama, mereka juga perlu memahami isu etika, hak cipta, bias data, manipulasi imej, eksploitasi budaya dan keaslian karya. Inilah cabaran besar pendidikan seni hari ini. Pelajar tidak boleh hanya diajar menggunakan aplikasi AI untuk menghasilkan imej menarik.

Mereka perlu diajar menjadi pengguna teknologi yang kritikal. AI boleh menghasilkan visual, tetapi manusia masih perlu menentukan konteks, rasa, nilai budaya, tujuan, etika dan makna.

Teknologi boleh mencipta bentuk, tetapi manusia yang memberi jiwa kepada bentuk tersebut. Kajian Anantrasirichai dan Bull (2022) menjelaskan bahawa manfaat terbesar AI dalam industri kreatif berlaku apabila teknologi ini digunakan untuk memperkukuh kreativiti manusia, bukan menggantikan manusia sepenuhnya sebagai pencipta.

Ini bermakna pelajar seni perlu melihat AI sebagai alat kolaboratif, bukan sekadar mesin pengganti. AI boleh membantu mempercepatkan proses teknikal, tetapi kepekaan terhadap budaya, pengalaman manusia, etika dan makna masih memerlukan pertimbangan manusia.

Di sinilah pentingnya pendekatan STEAM. Selama ini, STEM sering dibincangkan sebagai gabungan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Namun apabila seni dimasukkan ke dalam kerangka tersebut, pendidikan menjadi lebih seimbang kerana inovasi tidak hanya memerlukan logik teknikal, tetapi juga imaginasi, reka bentuk, naratif, empati dan pemahaman manusia.

Graduan seni tidak perlu menjadi jurutera, saintis data atau pakar matematik sepenuhnya. Tetapi mereka perlu mempunyai literasi asas teknologi.

Mereka perlu memahami bagaimana sensor boleh digunakan dalam instalasi interaktif, bagaimana data boleh diterjemahkan menjadi visual, bagaimana cetakan 3D boleh membantu penghasilan arca, bagaimana realiti maya boleh memperluas pengalaman pameran, bagaimana kod boleh membina seni digital, dan bagaimana AI boleh menjadi rakan kerja kreatif, bukan sekadar mesin pengganti.

Jika dahulu pelukis menggunakan kanvas, cat dan berus, hari ini seniman juga boleh menggunakan algoritma, sensor, kamera digital, skrin, bunyi, cahaya, ruang maya dan data. Perubahan medium tidak bermaksud seni kehilangan nilai.

Yang lebih penting ialah bagaimana medium itu digunakan untuk menyampaikan pengalaman, pemikiran dan nilai manusia. Universiti perlu lebih berani merombak pendekatan pendidikan seni. Pendidikan seni tidak boleh hanya tertumpu kepada penghasilan karya akhir.

Pelajar seni perlu didedahkan kepada pengurusan projek, komunikasi profesional, pembinaan portfolio, literasi digital, keusahawanan, dokumentasi karya, jaringan industri, pemikiran reka bentuk, etika teknologi dan kolaborasi rentas bidang.

Pelajar seni juga perlu diberi peluang bekerjasama dengan pelajar sains komputer, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan, komunikasi dan sains sosial. Projek akhir tidak semestinya hanya berbentuk karya studio konvensional.

Ia boleh berkembang menjadi instalasi interaktif, aplikasi kreatif, dokumentari imersif, reka bentuk pengalaman pengguna, seni berasaskan data, prototaip produk kreatif atau projek komuniti berasaskan teknologi.

Pada masa yang sama, pendidikan seni tidak boleh kehilangan akar kemanusiaannya. Dalam kesibukan mengejar teknologi, pelajar seni tetap perlu memahami sejarah seni, budaya tempatan, teori visual, estetika, etika, masyarakat dan pengalaman manusia.

Tanpa asas ini, teknologi hanya akan menghasilkan karya yang kelihatan menarik, tetapi kosong daripada makna. Inilah sebabnya bidang seni penting dalam dunia teknologi.

Seni mengingatkan kita bahawa inovasi bukan hanya soal laju, canggih atau automatik, tetapi soal nilai, rasa, makna dan kesan terhadap manusia. Program seperti pameran pelajar, festival seni, latihan industri, mobiliti akademik, pertandingan kreatif, projek komuniti dan program pekerjaan kampus juga tidak boleh dianggap sebagai aktiviti sampingan.

Ia adalah ruang latihan sebenar untuk pelajar memahami dunia kerja. Di situlah mereka belajar mengurus masa, bajet, pasukan, penonton, pelanggan, komuniti dan tekanan industri.

Pengalaman sebegini penting kerana industri kreatif bukan hanya memerlukan bakat, tetapi juga disiplin. Ramai orang menyangka kerja kreatif hanya soal idea spontan. Hakikatnya, kerja kreatif memerlukan perancangan, dokumentasi, penyelidikan, semakan, pembentangan, rundingan, pemasaran dan penilaian.

Graduan seni yang baik bukan hanya mampu menghasilkan karya, tetapi mampu menjelaskan mengapa karya itu penting, kepada siapa ia ditujukan, bagaimana ia memberi kesan dan bagaimana ia boleh dikembangkan sebagai nilai budaya atau ekonomi.

Industri pula perlu lebih serius membuka ruang kepada graduan seni. Mereka tidak harus dilihat hanya sebagai tenaga teknikal untuk membuat poster, video, dekorasi atau bahan promosi.

Nilai sebenar graduan seni terletak pada keupayaan mereka membina idea, memahami manusia, menyusun pengalaman dan menghubungkan visual dengan makna. Dalam dunia yang semakin dikuasai imej dan kandungan, kemahiran ini mempunyai nilai strategik.

Masalahnya, dalam banyak organisasi, kerja kreatif masih dianggap kerja sokongan, bukan kerja strategik. Visual hanya diminta apabila kempen sudah hampir siap. Pereka hanya dipanggil untuk “cantikkan” bahan. Jurufoto hanya dilihat sebagai orang yang mengambil gambar.

Artis hanya dijemput apabila majlis memerlukan hiasan. Cara berfikir sebegini perlu berubah. Graduan seni sepatutnya dilibatkan sejak peringkat awal pembangunan idea, bukan hanya pada peringkat akhir pelaksanaan.

Dalam dunia perniagaan moden, identiti visual, pengalaman pengguna, naratif jenama, persembahan data, komunikasi digital dan kandungan media sosial semuanya memerlukan pemikiran kreatif.

Syarikat yang memahami nilai seni tidak melihat seni sebagai kosmetik, tetapi sebagai strategi komunikasi. Di sinilah graduan seni boleh memainkan peranan besar, khususnya apabila mereka mempunyai gabungan kemahiran visual, teknologi, komunikasi dan pemahaman budaya.

Bagi Sarawak dan Malaysia, graduan seni juga mempunyai peranan penting dalam mengangkat warisan tempatan. Seni mempunyai hubungan rapat dengan adat, bahasa, komuniti, alam dan identiti.

Graduan seni boleh menjadi pendokumentasi budaya, pembina naratif tempatan, pereka berasaskan warisan, penggerak seni komuniti dan pencipta kandungan yang membawa cerita tempatan ke ruang yang lebih luas.

Dalam konteks Sarawak misalnya, kekayaan budaya, landskap, bahasa, adat, muzik, tekstil, seni bina, cerita rakyat dan memori komuniti boleh diterjemahkan melalui fotografi dokumentari, filem, animasi, seni instalasi, reka bentuk produk, pameran digital dan arkib visual.

Ini bukan sekadar soal mempromosikan budaya, tetapi soal memastikan budaya tempatan tidak hilang dalam arus globalisasi dan teknologi. Namun untuk sampai ke tahap itu, kita perlu berhenti melihat seni sebagai bidang pinggiran.

Kita perlu berhenti bertanya sama ada graduan seni hanya boleh menjadi pelukis. Soalan yang lebih penting ialah bagaimana negara boleh membina ekosistem yang membolehkan bakat kreatif hidup sebagai kerjaya yang bermaruah, profesional dan mampan.

Kerjaya kreatif tidak lagi boleh difahami secara sempit. Ia bukan hanya tentang menghasilkan karya, tetapi tentang membina idea, menyelesaikan masalah, menghubungkan budaya dengan teknologi, mencipta pengalaman dan memberi makna kepada kehidupan masyarakat.

Pembuat dasar juga perlu melihat industri kreatif dengan lebih serius. Jika negara mahu bercakap tentang ekonomi kreatif, maka sokongan kepada graduan seni tidak boleh hanya bersifat program sementara. Perlu ada laluan kerjaya yang lebih jelas, geran permulaan kreatif, inkubator seni dan teknologi, jaringan industri, perlindungan hak cipta, sokongan keusahawanan, latihan AI dan digital, serta platform yang menghubungkan graduan seni dengan industri sebenar.

Kita juga perlu membina kefahaman baharu dalam kalangan ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Bidang seni tidak harus dilihat sebagai pilihan terakhir selepas bidang lain. Seni ialah bidang yang memerlukan pemikiran, disiplin dan ketahanan.

Tidak semua orang mampu menterjemah idea menjadi visual, pengalaman atau naratif yang berkesan. Tidak semua orang mampu membaca budaya dan menyampaikannya dalam bentuk yang boleh difahami masyarakat luas. Sampai bila graduan seni mahu dipandang sekadar pelukis?

Jawapannya bergantung kepada sejauh mana masyarakat, universiti, industri dan pembuat dasar berani membuka semula makna sebenar kerjaya kreatif. Jika Malaysia benar-benar serius tentang ekonomi kreatif, AI, inovasi, budaya dan masa depan kerja, maka graduan seni tidak boleh terus berada di pinggir perbincangan.

Mereka perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tenaga penting yang mampu menghubungkan imaginasi manusia dengan teknologi masa depan. Graduan seni bukan sekadar pelukis.

Mereka ialah pemikir visual, pencipta makna, penggerak budaya, pengguna teknologi yang kritikal dan tenaga penting dalam ekonomi kreatif negara.

Rujukan Anantrasirichai, N., & Bull, D. (2022). Artificial intelligence in the creative industries: A review. Artificial Intelligence Review, 55, 589-656.

Department of Statistics Malaysia. (2025). Cultural and Creative Satellite Account 2024.

Department of Statistics Malaysia. UNESCO. (2023). Promoting the diversity of cultural expressions and creative economy. United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization. World Economic Forum. (2025). The Future of Jobs Report 2025. World Economic Forum.

Dr. Hishamuddin Siri, Pensyarah Kanan, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *