KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat secara menyeluruh isu pelaburan Tabung Haji yang didakwa mengalami kerugian besar, termasuk pelaburan dalam syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.
Beliau berkata, desakan itu dibuat selepas menerima jawapan Menteri Kewangan II ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat malam tadi berhubung status beberapa pelaburan Tabung Haji yang pernah ditegur dalam penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Menurut Syed Saddiq, antara persoalan dibangkitkannya sama ada Tabung Haji pernah mengalami kerugian 100 peratus daripada pelaburan dalam Putra Perdana, sebuah syarikat yang menurut beliau terbukti mempunyai kaitan dengan Jho Low.
“Ini bukan kerugian kecil. Berdasarkan jawapan diberikan, kerugian tersebut adalah 100 peratus, dengan nilai dianggarkan sekitar RM200 juta,” katanya.
Beliau berkata, jumlah berkenaan amat besar memandangkan dana Tabung Haji datang daripada simpanan pendeposit yang mempercayai institusi itu untuk mengurus wang mereka secara amanah dan profesional.
Syed Saddiq turut membangkitkan persoalan mengenai nasib 14 pelaburan Tabung Haji yang pernah mendapat teguran dalam penemuan RCI.
Katanya, berdasarkan jawapan diterimanya, tujuh daripada 14 pelaburan berkenaan dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus, manakala kerugian terkumpul melibatkan jumlah berbilion ringgit.
Beliau mendakwa, keadaan itu menimbulkan persoalan serius berhubung tahap integriti, kecekapan pengurusan serta kemungkinan wujudnya campur tangan politik dalam keputusan pelaburan Tabung Haji pada ketika itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Bila saya dengar perkara ini, saya sendiri tidak tahu sama ada mahu marah atau menangis,” katanya.
Sehubungan itu, Syed Saddiq mencadangkan supaya satu pasukan petugas pelbagai agensi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan.
Menurutnya, siasatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jumlah kerugian, sebaliknya perlu meneliti keseluruhan proses di sebalik keputusan pelaburan berkenaan.
Antara perkara perlu dikenal pasti, katanya, termasuk pihak yang mencadangkan dan meluluskan pelaburan, proses due diligence yang dijalankan, struktur pemilikan syarikat, kemungkinan konflik kepentingan serta sama ada wujud unsur salah laku atau pelanggaran undang-undang.
Beliau menegaskan, siasatan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai usaha politik untuk menyasarkan mana-mana individu atau kumpulan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal masa depan lebih 10 juta pendeposit Tabung Haji,” katanya.
Syed Saddiq berkata, pendeposit berhak mengetahui bagaimana wang mereka diurus dan siapa bertanggungjawab sekiranya berlaku kelemahan atau salah laku dalam pengurusan pelaburan.
Beliau turut menegaskan, sebarang kelemahan dalam tadbir urus Tabung Haji perlu diperbaiki bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Kalau berlaku kecuaian, kita perlu tahu siapa bertanggungjawab. Kalau ada campur tangan, kita perlu tahu siapa campur tangan. Dan, jika terdapat unsur jenayah, pihak berkuasa perlu menyiasat berdasarkan bukti,” katanya.
Menurutnya, Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya merupakan institusi yang dibina atas kepercayaan jutaan pendeposit.
Justeru, beliau mahu isu berkenaan disiasat secara menyeluruh dan telus bagi memastikan kepentingan serta wang pendeposit sentiasa dilindungi.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
