KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Nasional Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas susulan pendedahan mengenai kerugian hampir RM13 bilion yang dikaitkan dengan 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Machang itu berkata, pendedahan berhubung jumlah kerugian tersebut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan pelaburan berkenaan, selain sejauh mana tindakan undang-undang akan diambil sekiranya wujud unsur salah guna kuasa, kecuaian atau kesalahan jenayah.
Menurutnya, perbahasan khas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji pada 11 Ogos sepatutnya dapat merungkai polemik berhubung isu berkenaan, namun pendedahan angka kerugian yang semakin besar menyebabkan lebih banyak persoalan timbul.
“Kerajaan memaklumkan hampir RM13 bilion kerugian dikaitkan dengan 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji, manakala tujuh daripadanya mengalami kerugian 100 peratus.
“RM13 bilion bukan angka kecil yang boleh diketepikan dengan istilah teknikal seperti rosot nilai, penstrukturan semula atau pemulihan aset,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, berdasarkan penjelasan Kementerian Kewangan, jumlah kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi kira-kira RM10.2 bilion yang diserap kerajaan melalui struktur Urusharta Jamaah (UJSB) pada 2018, selain kira-kira RM2.6 bilion rosot nilai yang ditanggung Tabung Haji sendiri.
Kata beliau, pemindahan aset daripada satu entiti kepada entiti lain tidak bermakna kerugian tersebut hilang begitu sahaja kerana pada akhirnya kos berkenaan tetap mempunyai implikasi kepada pendeposit, kerajaan dan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap keputusan pelaburan yang mengakibatkan kerugian berkenaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Kalau benar terdapat salah guna kuasa, kecuaian serius, konflik kepentingan, pelaburan yang dibuat tanpa proses sewajarnya atau unsur jenayah dalam pengurusan wang pendeposit TH, jangan berhenti pada retorik.
“Cari siapa yang melakukannya, siasat, kemukakan bukti, dakwa jika cukup bukti dan tuntut semula wang yang masih boleh dipulihkan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan mengapa cadangan penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi untuk menyiasat pelaburan berisiko Tabung Haji masih dalam peringkat penelitian kerajaan.
Katanya, RCI sudah selesai menjalankan siasatan, laporan telah dibuka kepada umum dan pelaburan yang menimbulkan persoalan juga telah dikenal pasti.
“RCI sudah selesai. Laporan sudah dibuka. Pelaburan sudah dikenal pasti dan angka kerugian sudah disebut hampir RM13 bilion.
“Kalau selepas semua ini kerajaan masih berada pada peringkat mempertimbangkan penubuhan pasukan petugas, rakyat berhak bertanya, berapa lama lagi?” katanya.
Beliau berkata, siasatan menyeluruh perlu melibatkan agensi berkaitan bagi menentukan sama ada terdapat unsur salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam keputusan pelaburan berkenaan.
Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan mengenai beberapa amaran yang pernah dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan kewangan, rizab dan kecairan Tabung Haji.
Katanya, kerajaan sebelum ini memaklumkan BNM telah mengeluarkan lima amaran berkaitan kedudukan kewangan TH sejak 2014.
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Hasan, turut menyatakan masalah kewangan Tabung Haji mungkin dapat dibendung lebih awal sekiranya amaran tersebut ditangani dengan sewajarnya.
Justeru, katanya, kerajaan perlu menjelaskan siapa menerima amaran berkenaan, siapa meneliti laporan tersebut serta tindakan diambil selepas amaran itu diterima.
“Siapa menerima surat itu? Siapa membaca laporan tersebut? Apa keputusan lembaga selepas menerima amaran? Adakah menteri yang bertanggungjawab ketika itu dimaklumkan?
“Mengapa amaran tidak menghasilkan intervensi yang cukup kuat?” soalnya.
Beliau berkata, akauntabiliti tidak seharusnya berakhir dengan pengumuman bahawa kesilapan telah berlaku, sebaliknya perlu disusuli dengan penjelasan mengenai siapa membuat keputusan, atas nasihat siapa dan berdasarkan penilaian apa.
Dalam kenyataan sama, Wan Ahmad Fayhsal turut meminta Kementerian Kewangan memberikan penjelasan terperinci mengenai Sukuk UJSB Siri 1 bernilai RM12.5 bilion yang matang pada 29 Mei 2026.
Beliau merujuk kepada dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bahawa sukuk berkenaan belum ditebus sepenuhnya, dengan kira-kira RM965 juta diselesaikan melalui pemindahan aset, manakala baki sekitar RM11.5 bilion digantikan dengan sukuk baharu yang matang pada 2036.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, sekiranya angka tersebut tepat, kerajaan perlu menjelaskan rasional obligasi yang matang pada 2026 itu dilanjutkan sehingga 2036, termasuk kos pembiayaan dan implikasinya terhadap aliran tunai Tabung Haji.
Beliau turut mempersoalkan jumlah keseluruhan komitmen kerajaan kepada UJSB sehingga 2036 serta sejauh mana ia akhirnya akan ditanggung melalui Dana Disatukan Persekutuan.
Katanya, perkara itu penting kerana ia melibatkan persoalan mengenai tanggungjawab kewangan kerajaan dan implikasinya terhadap wang pembayar cukai.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
