KOTA BHARU – Lebih 300 murid sekolah rendah di Kelantan dikesan mengalami pelbagai masalah mata termasuk juling (strabismus) dan mata malas (ambliopia) menerusi kempen saringan kesihatan yang dijalankan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di beberapa sekolah di negeri ini sejak tiga tahun lepas.
Pakar Oftalmologi HPUSM Dr Ng Kwang Sheng berkata dapatan itu menunjukkan kepentingan pemeriksaan mata secara berkala dalam kalangan kanak-kanak bagi membolehkan masalah penglihatan dikesan serta dirawat lebih awal sebelum menjejaskan perkembangan visual dan pembelajaran.
Beliau berkata strabismus mempunyai beberapa jenis termasuk esotropia (bebola mata masuk ke dalam), eksotropia (ke luar), hipertropia (ke atas) dan hipotropia (ke bawah), yang lazimnya berpunca daripada faktor genetik, rabun atau kerosakan saraf.
Dr Ng berkata rawatan awal amat penting terutama bagi kanak-kanak yang mengalami mata juling kerana hubungan antara mata dan otak masih berkembang pada usia muda.
“Rawatan seawal umur lima tahun penting bagi memastikan perkembangan hubungan saraf antara mata dan otak berlaku dengan baik selain mencegah ambliopia serta memastikan penglihatan binokular berkembang secara normal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata HPUSM sebelum ini pernah melakukan pembedahan mata juling terhadap kanak-kanak berusia setahun enam bulan dan berjaya mengembalikan fungsi mata secara normal.
Bagaimanapun, katanya, rawatan dilakukan mengikut jenis dan tahap strabismus kerana dalam keadaan tertentu, sesetengah pesakit perlu menjalani pembedahan kali kedua apabila saiz mata semakin membesar sehingga menyebabkan kedudukan mata kembali juling.
Dr Ng berkata rawatan mata juling bergantung kepada punca dan usia pesakit, meliputi penggunaan cermin mata khas, terapi penglihatan atau suntikan, manakala pembedahan melaras otot mata akan disyorkan sekiranya kaedah berkenaan tidak berkesan.
Beliau berkata kadar kejayaan pembedahan mata juling di Malaysia adalah tinggi, iaitu antara 85 hingga 90 peratus, sekali gus membantu pesakit memperbaiki fungsi penglihatan selain meningkatkan keyakinan diri.
“Masalah mata juling sering menyebabkan pesakit, khususnya kanak-kanak berasa malu atau rendah diri, namun rawatan moden mampu memulihkan fungsi penglihatan, penampilan serta psikososial mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Ng menasihatkan ibu bapa supaya peka terhadap perkembangan kesihatan mata anak-anak dan mendapatkan pemeriksaan seawal mungkin sekiranya mendapati mata anak-anak kelihatan juling, sukar memberi tumpuan atau menunjukkan tanda-tanda masalah penglihatan.
Beliau turut mengingatkan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun tidak sepatutnya didedahkan kepada penggunaan gajet, manakala kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun hanya disaran menggunakan gajet tidak melebihi sejam sehari, sementara penggunaan bagi kanak-kanak yang lebih berusia perlu dikawal.
Beliau berkata HPUSM antara hospital pakar yang menawarkan pembedahan mata juling pada kos berpatutan, iaitu tidak melebihi RM1,000, sekali gus membolehkan pusat perubatan itu menerima pesakit dari seluruh negara. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
