Oleh: Editorial Sastera ND
FESTIVAL Lakon Layar peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, menyaksikan pertembungan bakat-bakat muda dari seluruh negara yang hadir membawa suara, cerita dan semangat seni yang luar biasa.
Festival ini bukan sekadar medan pertandingan, bahkan menjadi ruang penghargaan terhadap kreativiti, keberanian berkarya serta keupayaan generasi muda menterjemahkan isu kemanusiaan, warisan dan kehidupan melalui bahasa pentas serta layar.
Sepanjang festival berlangsung, pelbagai karya dipersembahkan dengan kekuatan idea, disiplin persembahan dan penghayatan yang mengagumkan.
Setiap negeri tampil membawa identiti tersendiri, menjadikan pentas kebangsaan ini sebuah himpunan warna budaya dan pemikiran yang memperkayakan landskap seni pendidikan negara.

Bagi kategori Teater Sekolah Rendah, karya “Rahsia Rimba” dari Selangor dinobatkan sebagai Johan selepas memukau para juri menerusi persembahan yang mantap dan penuh penghayatan.
Tempat kedua menjadi milik “Warisan Terakhir” dari Pahang, manakala “Bara Ditangan” dari Perak muncul di tempat ketiga. Kedudukan keempat disandang oleh Johor menerusi “Lari Bitbit Lari”, sementara “5 Bakul Merdeka” dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melengkapkan senarai lima terbaik.
Dalam kategori Teater Sekolah Menengah, Pulau Pinang berjaya meraih kejuaraan menerusi karya “Roh Pejuang”, diikuti Selangor di tempat kedua dengan “4112”.
Negeri Sembilan menerusi “Suara Lorong Malam” berada di tempat ketiga, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan “Masih Ada” menduduki tempat keempat. Tempat kelima menjadi milik Kelantan menerusi “Neraca Hidup”.

Persaingan kategori Teater Sekolah Seni Malaysia (SSeM) turut berlangsung sengit apabila Perak muncul juara dengan karya “Sesudah Subuh”. Johor menerusi “Rumah Lama Kampung Baru” berada di tempat kedua, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan “YB” di tempat ketiga.
Sabah menerusi “Balai Raya Kg Ulu Dusun” menduduki tempat keempat, sementara Sarawak melalui “Tanah Bernanah” melengkapkan kedudukan lima terbaik.
Kategori Monolog Sekolah Menengah memperlihatkan Kelantan menjuarai pertandingan menerusi persembahan “Desideratum”, diikuti Pahang dengan “Bahh” di tempat kedua.
“Secarik Cahaya” dari Negeri Sembilan meraih tempat ketiga, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi “Fail 37” berada di tempat keempat. Tempat kelima menjadi milik Perlis dengan karya “Sampai Lelah”.
Bagi kategori Monolog Sekolah Seni Malaysia (SSeM) pula, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dinobatkan sebagai johan menerusi “Di Balik Bayang”.

Perak dengan “Berai” muncul naib juara, manakala Sarawak menerusi “Suara Dari Runtuhan Gaza” berada di tempat ketiga. Johor dengan “Peti” menduduki tempat keempat, sementara Sabah melalui “Harga Sebuah Maruah” berada di kedudukan kelima.
Dalam kategori Filem Pendek Sekolah Rendah, Kelantan berjaya muncul juara menerusi “Pencuri Tenaga”. Tempat kedua menjadi milik Sabah dengan “Bidak”, diikuti Labuan melalui “Usaha Tidak Mengkhianati Hasil” di tempat ketiga. Pulau Pinang menerusi “Obsesi” menduduki tempat keempat, manakala Negeri Sembilan dengan “Rasa Baru” melengkapkan senarai lima terbaik.
Kategori Filem Pendek Sekolah Menengah menyaksikan Pulau Pinang merangkul kejuaraan menerusi “E.D.”. Sabah dengan “Dalam Diam” berada di tempat kedua, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi “Zul Zombie” di tempat ketiga. Kelantan melalui “Pita 1990” menduduki tempat keempat, manakala Terengganu menerusi “Restu” berada di tempat kelima.
Sementara itu, kategori Filem Pendek Sekolah Seni Malaysia (SSeM) menyaksikan Sarawak muncul juara menerusi “Kodok”. Johor dengan “Bekal” berada di tempat kedua, diikuti Perak melalui “Disebalik Garuan” di tempat ketiga.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi “Sempurna” menduduki tempat keempat, manakala Sabah dengan “End-Zaty” melengkapkan kedudukan lima terbaik.
Festival Lakon Layar peringkat Kebangsaan terus membuktikan sekolah merupakan tapak terbaik untuk menyemai benih seni, membentuk keyakinan diri serta melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir berkarya, malah berupaya menyampaikan suara masyarakat melalui medium teater, monolog dan filem pendek.
Setiap karya yang dipersembahkan mencerminkan kepekaan terhadap isu semasa, nilai kemanusiaan, sejarah, budaya dan jati diri bangsa.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta, guru pembimbing, jurulatih, penggiat seni pendidikan serta seluruh kontinjen negeri yang telah menjayakan festival berprestij ini.

Menang atau kalah hanyalah catatan keputusan, namun pengalaman, persahabatan dan semangat berkarya yang terjalin sepanjang festival akan terus menjadi warisan berharga dalam perjalanan seni generasi muda negara.
Latihan dan bimbingan festival ini dikendalikan oleh Affix Zukarnain Adam, yang turut memainkan peranan dalam memperkukuh mutu persembahan serta pembangunan bakat seni murid di pentas kebangsaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
