PH perlu dikekalkan di Negeri Sembilan demi kesinambungan prestasi ekonomi – Faiz

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) perlu terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dan pelaburan negeri dapat dikekalkan, kata Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil.

Menurut beliau, setiap undi yang diberikan kepada gabungan UMNO-PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini disifatkan sebagai langkah yang boleh menjejaskan hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

Beliau mendakwa rekod pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, selain prestasi pentadbiran UMNO di Negeri Sembilan sebelum 2018, menunjukkan kepentingan mengekalkan PH sebagai kerajaan negeri.

Faiz berkata, sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018, saiz ekonomi Negeri Sembilan meningkat daripada RM45.7 bilion kepada RM55.8 bilion pada 2025, yang disifatkannya sebagai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi dalam sejarah negeri.

Beliau turut memaklumkan Negeri Sembilan merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah pada 2025 berjumlah RM19.1 bilion, mengatasi sasaran awal sebanyak RM10 bilion.

Katanya, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, negeri itu memperoleh pelaburan diluluskan berjumlah RM51.1 bilion yang dijangka mewujudkan lebih 19,000 peluang pekerjaan, termasuk dalam sektor berkemahiran tinggi. Dalam tempoh sama, pelaburan asing berjumlah RM22.9 bilion berjaya dibawa masuk menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Mengulas kedudukan kewangan negeri, Faiz berkata kutipan hasil meningkat daripada RM413 juta pada 2017 kepada RM785 juta pada 2025, sekali gus melepasi unjuran asal RM590 juta. Beliau berkata kerajaan negeri juga mencatatkan lebihan pendapatan atau surplus selama empat tahun berturut-turut.

Menurutnya lagi, Negeri Sembilan turut mencatat sejarah apabila rizab tunai negeri melepasi RM1 bilion buat pertama kali, dengan jumlah RM1.035 bilion.

Dalam pada itu, beliau berkata kesinambungan pentadbiran PH penting bagi memastikan pelaksanaan projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) berjalan lancar.

Katanya, projek berkenaan kini diperluaskan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan perindustrian menerusi enam zon ekonomi bagi menarik industri bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Faiz berkata KDNK Negeri Sembilan dijangka hampir berganda menjelang 2040, namun pencapaian itu bergantung kepada pentadbiran yang memahami keperluan pelabur, dunia perniagaan dan sosioekonomi rakyat.

Beliau berpandangan prestasi pentadbiran PH sepanjang dua penggal membuktikan keupayaannya meneruskan agenda pembangunan negeri, sambil mendakwa pertukaran kerajaan negeri berisiko menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi serta tadbir urus Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *