Jemaah Menteri setuju laporan RCI TH didedahkan, bentang dan bahas pada sidang khas Dewan Rakyat

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju laporan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) dikelaskan semula dan didedahkan hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata laporan itu akan dibentangkan dan dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

“Jemaah Menteri hari ini diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi Laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020.

“Jemaah Menteri bersetuju bahawa laporan ini akan dibuat pengelasan semula (declassified) dan didedahkan pada hari ini. Laporan ini juga akan dibentangkan dan dibahaskan di satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, kerajaan bersedia untuk mendedahkan laporan akhir RCI berkait TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan berhubung dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli, sebelum ini dipetik berkata laporan RCI terbabit sepatutnya didedahkan kepada umum pada seawal 2023 ketika ia mula-mula disiapkan.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, mendakwa tindakan melambatkan pendedahan laporan itu dipercayai berpunca daripada sikap berhati-hati Perdana Menteri yang mahu menjaga hati UMNO.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum laporan terbabit menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus dari syor berkenaan.

“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH sudah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan bahawa pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan siasatan penuh oleh badan penguatkuasaan berdasarkan laporan berkenaan akan diteruskan serta-merta dan pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang. – Berita Harian

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *