UiTM Perkasa Remaja SMK Tun Perak Melalui Program Holistik Cegah Gejala Sosial

MUAR – Kelab Prime Mover, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban terus komited memperkasakan pembangunan sahsiah remaja menerusi penganjuran Program Remaja Holistik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Muar, Johor baru-baru ini.

Program disertai 247 pelajar itu bertujuan membina jati diri, meningkatkan daya tahan mental serta memberi pendedahan awal mengenai pencegahan gejala sosial dalam kalangan remaja.

Inisiatif ini turut menjadi platform untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran menghadapi cabaran kehidupan dan pengaruh negatif yang semakin kompleks pada masa kini.

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai modul interaktif yang fokus kepada pembentukan sahsiah, pengurusan emosi, kesihatan mental, seksualiti remaja serta motivasi kendiri.

Pendekatan yang santai dan mesra remaja membolehkan peserta lebih terbuka berkongsi pandangan serta memahami kaedah mengurus tekanan, membuat keputusan secara rasional dan membina keyakinan diri.

Pengarah Program, Mohamad NurHakim Azmi berkata, program itu memberi penekanan terhadap kemahiran membuat keputusan yang bijak, khususnya ketika berdepan tekanan rakan sebaya.

Menurut beliau, pelaksanaan modul seperti Perkembangan Diri dan Transformasi Remaja, Kesihatan Emosi dan Mental, Seksualiti Remaja, serta Motivasi dan Bimbingan Diri diharap dapat membentuk generasi muda yang berprinsip, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Seramai 16 fasilitator daripada Kelab Prime Mover UiTM mengendalikan sesi sepanjang program dan semua mereka telah menerima latihan menerusi Kursus Training of Trainers (TOT) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memastikan penyampaian kandungan lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan golongan remaja.

Melalui pendekatan interaktif, fasilitator turut membuka ruang perbincangan mengenai kesihatan reproduktif, kepentingan menjaga maruah diri, pembangunan kepimpinan serta pembentukan sahsiah sebagai persediaan melahirkan bakal pemimpin masa hadapan.

Sementara itu, Penasihat Kelab Prime Mover, Khairolizwan Harry berkata, kejayaan seseorang remaja bukan hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik, malah turut dipengaruhi oleh kekuatan sahsiah, kematangan emosi dan nilai moral yang tinggi.

Beliau berkata, ketahanan mental merupakan benteng utama bagi membantu remaja menghindari gejala sosial serta membolehkan mereka berkembang sebagai individu yang berintegriti, berprinsip dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Penganjuran Program Remaja Holistik ini membuktikan komitmen berterusan Kelab Prime Mover UiTM dalam menyokong usaha melahirkan generasi muda yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan sahsiah, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan serta masyarakat yang berkualiti dan berdaya saing.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *