PRN Negeri Sembilan: Anwar umum kerajaan akan naikkan kadar SARA

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan menyifatkan kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan bersedia menambah baik bantuan yang disalurkan.

Menurut Anwar, walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelbagai bantuan lain di peringkat Persekutuan dan negeri, kerajaan mengakui masih terdapat rakyat yang berdepan tekanan akibat kos sara hidup.

“Walaupun kita beri STR, SARA dan di Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula memberikan bonus yang tinggi kepada penjawat awam, adakah semua masalah rakyat selesai? Belum.

“Sebab itu kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi kadar SARA untuk rakyat semua,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap dasar dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang paling terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan berpuas hati dengan bantuan yang telah disediakan sekiranya masih terdapat rakyat yang memerlukan sokongan tambahan.

Beliau turut menegaskan, pentadbiran kerajaan sentiasa menilai keberkesanan setiap inisiatif bantuan agar dapat disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dan keperluan rakyat.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan Kerajaan MADANI sedang memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan kepada rakyat termasuk menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), tertakluk kepada kedudukan kewangan negara.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, dan akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Pengumuman mengenai hasrat meningkatkan kadar SARA itu dilihat sebagai antara komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh jaringan perlindungan sosial selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat, khususnya ketika negara berdepan cabaran kos sara hidup yang masih menjadi perhatian utama masyarakat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *