Agong Terima Watikah Enam Perwakilan Asing, Lantik Lima Duta Malaysia Ke Luar Negara

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima watikah pelantikan daripada enam ketua perwakilan asing ke Malaysia serta mengurniakan watikah pelantikan kepada lima ketua perwakilan Malaysia yang bakal menjalankan tugas diplomatik di luar negara dalam satu istiadat penuh istiadat di Istana Negara.

Istiadat tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh hubungan diplomatik, memperluas kerjasama strategik dan mengukuhkan persahabatan dengan negara-negara sahabat di peringkat antarabangsa.

Enam ketua perwakilan asing yang mempersembahkan watikah pelantikan kepada Seri Paduka Baginda ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Rabin Gungoo, Pesuruhjaya Tinggi Mauritius; TYT Nevzat Uyanik, Duta Besar Republik Turkiye; TYT Dato’ Paduka Abdur Rahmani Dato’ Paduka Haji Basir, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam; TYT Ahmed Olatunji Sulu Gambari, Pesuruhjaya Tinggi Republik Persekutuan Nigeria; TYT Raymond Serge Bale, Duta Besar Republik Congo; serta TYT Ermal Muca, Duta Besar Republik Albania.

Dalam istiadat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lima ketua perwakilan Malaysia yang akan mewakili negara di pentas antarabangsa.

Mereka ialah TYT Dato’ Muzafar Shah Mustafa yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, TYT Jamal Sharifuddin Johan sebagai Duta Besar Malaysia ke Vietnam, TYT Muhammad Radzi Jamaluddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico, TYT Dato’ Shahabudeen Adam Shah sebagai Duta Besar Malaysia ke Itali dan TYT Edi Irwan Mahmud sebagai Duta Besar Malaysia ke Maghribi.

Menurut kenyataan Istana Negara, istiadat tersebut menjadi simbol penting hubungan diplomatik Malaysia dengan masyarakat antarabangsa serta memperlihatkan keyakinan negara terhadap peranan diplomasi dalam memperkukuh keamanan, kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala.

“KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan enam ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara, hari ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda “berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada TYT Dato’ Muzafar Shah Mustafa, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia; TYT Jamal Sharifuddin Johan, Duta Besar Malaysia ke Vietnam; TYT Muhammad Radzi Jamaluddin, Duta Besar Malaysia ke Mexico; TYT Dato’ Shahabudeen Adam Shah, Duta Besar Malaysia ke Itali; dan TYT Edi Irwan Mahmud, Duta Besar Malaysia ke Maghribi.”

Hadir sama pada istiadat tersebut ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan serta Tan Sri Amran Mohamed Zin.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *