Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
AYER KEROH – DAP Melaka dijangka mengambil tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 berkaitan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Keputusan tersebut dijangka diumumkan menerusi sidang media khas selepas proses pembentangan, perbahasan, penggulungan dan pengundian RUU berkenaan selesai.
Tindakan itu susulan pendirian DAP Melaka sebelum ini membantah cadangan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan, dengan menyifatkannya bertentangan dengan prinsip demokrasi.
Sekiranya keputusan itu dibuat, ia berpotensi menamatkan penglibatan DAP dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Antara wakil DAP yang dijangka melepaskan jawatan dalam pentadbiran negeri ialah ADUN Kesidang merangkap Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh yang juga Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; serta dua Timbalan Exco iaitu ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong dan ADUN Banda Hilir, Leng Chau Yen.
Selain jawatan dalam pentadbiran negeri, DAP turut dijangka mengumumkan peletakan jawatan semua wakilnya dalam Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sebagai tanda bantahan terhadap pindaan berkenaan.
Sumber memaklumkan sidang media tersebut akan diketuai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga ADUN Bukit Katil, Adly Zahari, bersama Pengerusi DAP Melaka merangkap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Untuk rekod, komposisi DUN Melaka ketika ini menyaksikan BN menguasai 20 kerusi, diikuti PH dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.
Dalam persidangan hari kedua Persidangan Kedua, Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijadual membentangkan RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 sebelum proses-proses tersebut dijalankan.
Pemerhati politik berpandangan ugutan untuk keluar daripada kerajaan negeri dilihat tidak memberi kesan besar terhadap kestabilan pentadbiran memandangkan Barisan Nasional (BN) menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, sekali gus memiliki majoriti selesa untuk terus mentadbir sehingga tamat penggal.
Malah, tindakan tersebut dilihat berlaku ketika tempoh hayat DUN Melaka berbaki hanya beberapa bulan sebelum pembubaran automatik bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Dalam pada itu, kerajaan negeri mempertahankan cadangan pelantikan ADUN lantikan sebagai langkah memperkukuh pentadbiran dengan membawa masuk individu yang mempunyai kepakaran khusus bagi membantu proses penggubalan dasar dan tadbir urus negeri.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L