SHAH ALAM – Lebih sedekad selepas mencetuskan idea pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi mengatasi kesesakan trafik di Shah Alam dan Klang, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasai sendiri perjalanan menggunakan perkhidmatan itu.
Lawatan baginda disifatkan sebagai detik bersejarah apabila cadangan yang lahir daripada aduan rakyat mengenai kesesakan lalu lintas akhirnya diterjemahkan kepada sebuah sistem pengangkutan awam yang kini digunakan ribuan penumpang setiap hari.
Sultan Sharafuddin berangkat tiba di Stesen Bandar Utama kira-kira jam 10.30 pagi bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Baginda kemudian menaiki gerabak khas menuju ke Stesen Johan Setia. Perjalanan sejauh 37.8 kilometer itu mengambil masa kira-kira sejam dengan melalui 20 stesen di sepanjang laluan.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, ilham pembinaan LRT3 tercetus selepas Sultan Sharafuddin menerima banyak surat daripada rakyat yang mengadu kesesakan lalu lintas di laluan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Cadangan itu kemudian dikemukakan kepada kerajaan sebagai usaha menyediakan alternatif kepada pengguna jalan raya, selain memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Selangor.
Baginda bertitah projek berkenaan amat penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi sistem pengangkutan yang lebih cekap, selesa dan mesra alam.
“Perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.
“Alhamdulillah, akhirnya LRT3 ini siap dan boleh digunakan. Beta percaya ada hikmah yang Allah SWT ingin tunjukkan di sebalik kelewatan projek ini,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut berharap pembinaan lima stesen yang sebelum ini ditangguhkan dapat disiapkan mengikut perancangan.
Lima stesen berkenaan ialah Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitarnya apabila siap kelak.
Dalam kenyataan sama, baginda merakamkan penghargaan kepada Prasarana, MRCB dan semua pihak yang terlibat menjayakan pembinaan serta pengoperasian LRT3.
Baginda dimaklumkan lebih 13,000 individu menyumbang tenaga, kepakaran dan pengalaman sepanjang pelaksanaan projek itu.
Menurut baginda, kejayaan LRT3 bukan hanya dapat dilihat menerusi pembinaan stesen, landasan dan tren, sebaliknya hasil dedikasi ribuan tenaga kerja yang menjayakan projek berkenaan sejak peringkat awal.
“Walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, kejayaan sebenar projek ini lahir daripada dedikasi, profesionalisme dan komitmen lebih 13,000 individu yang mengabdikan tenaga serta kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut berharap operasi LRT3 berjalan lancar dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.
Baginda percaya peningkatan penggunaan pengangkutan awam mampu membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, di samping menyokong usaha mewujudkan sistem mobiliti yang lebih moden dan mampan.
LRT3 Laluan Shah Alam dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lalu. Pada majlis itu, beliau mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai, termasuk penggunaan bas perantara kendalian Prasarana di sepanjang laluan berkenaan.
Projek bernilai RM16.63 bilion itu dibangunkan bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negara dengan menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia.
Selain 20 stesen, laluan itu turut disokong 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian menerusi 13 laluan bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L