Oleh NurFarhana Zulkeply
JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan berlangsung di Istana Bukit Serene di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengesahkan pelantikan semula beliau sebagai ketua pentadbiran negeri.
Pada PRN Johor, BN memperoleh mandat besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang mengekalkan pentadbiran negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.
Sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Johor menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya itu, Onn Hafiz turut mengumumkan 13 Julai sebagai cuti peristiwa di seluruh negeri.
Pelantikan semula itu menyaksikan Onn Hafiz meneruskan kepimpinan yang bermula pada Mac 2022 selepas mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Datuk Hasni Mohammad.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan, menarik pelaburan serta memperkukuh ekonomi Johor bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kemenangan besar BN pada PRN kali ini dilihat sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap kesinambungan pentadbiran sedia ada serta hala tuju pembangunan yang dibawa kerajaan negeri.
Dengan mandat baharu yang diterima, tumpuan kini beralih kepada usaha kerajaan pimpinan Onn Hafiz untuk meneruskan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan, selain memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L