Oleh NurFarhana Zulkeply
SEREMBAN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun gabungan itu mengalami kekalahan di Johor.
Beliau berkata, keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap prestasi PH di negeri lain kerana setiap negeri mempunyai landskap politik, corak pengundian dan isu tempatan yang berbeza.
Mengulas keputusan di Johor, Anthony mengakui DAP gagal mempertahankan beberapa kerusi tradisinya berikutan peralihan sokongan sebahagian pengundi Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN), khususnya dalam pertandingan satu lawan satu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan asas sokongan PH dan DAP di kawasan bandar Johor masih kekal kukuh apabila gabungan itu berjaya mempertahankan enam daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dengan memperoleh majoriti melebihi 50 peratus.
Menurut Anthony, fokus PH kini beralih sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan dengan memperkukuh gerak kerja jentera parti serta memastikan sokongan rakyat terus dipertahankan.
Sebagai penyandang kerusi DUN Chennah, beliau yakin rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjadi faktor utama dalam mengekalkan keyakinan pengundi.
Katanya, prestasi pentadbiran negeri serta pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk rakyat memberi kelebihan kepada PH untuk terus mendapat mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Beliau turut menegaskan PH tidak akan mengambil mudah cabaran yang bakal dihadapi, sebaliknya akan terus memperkukuh usaha mendekati rakyat bagi memastikan gabungan itu kekal menjadi pilihan pengundi pada PRN nanti.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L