Di Tengah Gelombang Digital, Puisi Masih Menyala Jiwa Bangsa

PENYERTAAN memberangsangkan golongan muda dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026 menjadi isyarat seni deklamasi puisi masih utuh bertapak dalam jiwa masyarakat, sekali gus menepis tanggapan arus digitalisasi telah menghakis minat generasi baharu terhadap dunia sastera.

Di sebalik ledakan teknologi, kecerdasan buatan dan budaya media sosial yang mendominasi kehidupan seharian, pentas deklamasi puisi terus menemukan khalayaknya. Suara-suara muda yang tampil dengan semangat, penghayatan dan keberanian mengangkat karya bertemakan kemerdekaan membuktikan puisi masih memiliki ruang yang istimewa sebagai wahana menyemai rasa cinta kepada tanah air, membina kesedaran sejarah dan memperkukuhkan jati diri bangsa.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, penganjuran sayembara berkenaan bukan sekadar pertandingan seni persembahan, sebaliknya menjadi medan penting untuk membangkitkan semangat kebangsaan melalui bahasa dan sastera yang halus, tetapi berpengaruh.

Menurut beliau, sambutan Hari Kebangsaan sewajarnya tidak hanya diraikan melalui acara bersifat simbolik, bahkan perlu disemarakkan dengan pengisian seni yang mampu menyentuh pemikiran dan perasaan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Sempena Hari Kebangsaan setiap tahun perlu ada satu usaha untuk membugar semangat itu dalam bentuk seni yang halus. Jadi, ini matlamat utama apabila masa beredar, generasi muda pun muncul.

“Mereka juga tidak boleh dikesampingkan untuk benar-benar faham sastera juga mempunyai fungsinya dalam pembinaan negara bangsa dan melahirkan rakyat yang patriotik serta nasionalis,” katanya selepas merasmikan SDPK Ke-40 di ibu negara pada Ahad.

Beliau berkata, dalam landskap masyarakat moden yang berkembang pantas, sastera tidak seharusnya dilihat sebagai warisan yang hanya tersimpan di halaman buku atau menjadi bahan bacaan kelompok tertentu semata-mata, sebaliknya sastera ialah medium pendidikan jiwa yang terus relevan kerana mampu membentuk pemikiran, memperhalusi nilai kemanusiaan dan memperkukuh rasa cinta terhadap negara.

Katanya lagi, penglibatan generasi muda dalam sayembara tersebut membuktikan seni deklamasi puisi masih mempunyai tempat yang kukuh dalam kalangan masyarakat apabila diberikan ruang dan pentas yang sesuai untuk berkembang.

Sementara itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry menegaskan, kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah yang dikenang setiap kali tibanya bulan Ogos, sebaliknya perlu terus dihidupkan melalui pemerkasaan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan nadi kepada pembentukan identiti negara dan perlu terus dipelihara agar roh kemerdekaan sentiasa hidup dalam sanubari rakyat.

“Selagi bahasa Melayu dimartabatkan, selagi itulah roh kemerdekaan akan terus berdenyut dalam jiwa rakyat. Warisan Melayu mengingatkan kita nilai budaya dan jati diri bangsa wajib dipelihara.

“Dalam konteks hari ini, bahasa dan sastera antara warisan yang menjadi tunjang kepada kelangsungan tamadun bangsa,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkasakan bahasa dan sastera bukan hanya menjadi tanggungjawab institusi pendidikan atau badan sastera semata-mata, tetapi memerlukan dukungan seluruh masyarakat agar warisan intelektual bangsa terus subur merentasi zaman.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Haslina Usman, anak sulung Allahyarham Sasterawan Negara, Usman Awang, yang menyampaikan Piala Pusingan Usman Awang kepada johan SDPK Ke-40.

Kehadiran beliau memberikan makna tersendiri kepada sayembara berkenaan, sekali gus mengimbau jasa besar Allahyarham Usman Awang sebagai tokoh yang menjadikan puisi wadah memperjuangkan nilai kemanusiaan, perpaduan dan cinta akan tanah air.

Penganjuran SDPK yang kini memasuki edisi ke-40 membuktikan komitmen berterusan dalam memelihara tradisi deklamasi puisi sebagai salah satu cabang seni yang bukan sahaja mengangkat keindahan bahasa, malah menjadi jambatan menghubungkan sejarah, budaya dan semangat patriotisme antara generasi.

Sayembara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dianjurkan PENA dengan kerjasama DBP serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa kesusasteraan kebangsaan dalam menghadapi cabaran era digital.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *