PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Chongqing Rail Transit (CRT), China bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan keupayaan operasi, kebolehpercayaan sistem, perkongsian kepakaran teknikal serta pembangunan bakat, khususnya dalam pengoperasian sistem monorel.
Majlis pemeteraian perjanjian yang berlangsung pada 9 Julai lalu di Menara Prasarana itu telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan bersama Pengerusi merangkap Pengurus Besar Chongqing Rail Transit, Hu Zhiyong dan disaksikan Ketua Pegawai Kumpulan Modal Insan, Dr. Harigaran Bharatham dan Zhang Jun, Naib Pengurus Besar Chongqing Rail Transit.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Dr. Prodyut Dutt, barisan Kepimpinan Kanan Prasarana serta wakil-wakil daripada Chongqing Rail Transit, Tangshan Baichuan Intelligent dan Steadfast Metro.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik dalam aspek kebolehpercayaan sistem dan pengurusan aset, pendigitalan operasi, penggunaan analitik data, penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance), standard operasi dan keselamatan, di samping pembangunan kompetensi tenaga kerja melalui latihan bersama, lawatan teknikal serta pertukaran kepakaran.
Amir Hamdan berkata, kerjasama dengan Chongqing Rail Transit membuka peluang kepada Prasarana untuk memperluas akses kepada amalan terbaik global dalam aspek kebolehpercayaan sistem rel, strategi penyelenggaraan serta kecekapan operasi.
Kata beliau, perkongsian pengetahuan ini penting bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, lancar dan boleh dipercayai terus dinikmati oleh para pengguna.
“Kerjasama dengan CRT yang merupakan antara pengendali monorel terkemuka dunia akan membantu Prasarana memperkukuh ekosistem operasi Monorel Kuala Lumpur yang telah berkhidmat kepada warga kota selama lebih dua dekad, selaras dengan perkembangan teknologi dan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Selain sesi pemeteraian MoU, delegasi CRT turut mengadakan lawatan teknikal ke Depoh Monorel bagi meninjau operasi harian serta amalan penyelenggaraan sistem monorel yang dikendalikan oleh Prasarana.
MoU ini berfungsi sebagai rangka kerja bagi meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi dan tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan pada peringkat ini.
Kedua-dua pihak juga akan mewujudkan mekanisme komunikasi bersama bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif serta memantau perkembangan kerjasama secara berkala.
Melalui kerjasama ini, Prasarana dan Chongqing Rail Transit berkongsi aspirasi untuk terus memperkukuh kecemerlangan operasi sistem monorel, sekali gus menyampaikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selamat, cekap dan mampan kepada rakyat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L