Anthony Loke Tegaskan Undang-Undang Tidak Kenal Parti, Petugas PH Turut Dikenakan Saman

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap mana-mana individu yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk petugas kempen Pakatan Harapan (PH).

Anthony berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius rakaman tular yang memaparkan sekumpulan petugas kempen PH, termasuk daripada DAP, menunggang motosikal tanpa mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

Beliau menegaskan pendiriannya berhubung isu itu tidak pernah berubah dan prinsip sama telah dinyatakan ketika membangkitkan insiden melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu.

“Tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen Pakatan Harapan. Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” katanya di laman Facebook milik beliau.

Sehubungan itu, Anthony berkata beliau telah mengarahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa yang didapati melanggar peraturan berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik termasuk melibatkan individu yang menyertai konvoi kempen PH di Johor.

Beliau menegaskan undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama terhadap semua rakyat Malaysia tanpa memilih parti atau kedudukan.

“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri. Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *