Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu rakyat negeri ini agar terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambil memohon maaf atas segala kelemahan dan kekurangan sepanjang menerajui pentadbiran negeri.
Onn Hafiz berkata keputusan yang bakal dibuat rakyat Johor bukan sekadar menentukan calon yang dipilih, malah akan mencorakkan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang dalam perutusan khas yang dimuat naik di laman Facebook milik beliau sehari sebelum hari pengundian.
Beliau berkata, sejak diberikan amanah memimpin Johor, beliau bersama seluruh barisan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan Bangsa Johor.
“Saya sedar saya bukan seorang pemimpin yang sempurna. Sepanjang memikul amanah ini, sudah tentu ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan.
“Atas segala kekurangan itu, saya dengan penuh rendah hati memohon maaf kepada seluruh Bangsa Johor. Namun, saya percaya setiap amanah hadir bersama tanggungjawab untuk terus belajar, memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya rakyat masih melihat keikhlasan dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam berkhidmat, beliau berharap mereka dapat memberikan sokongan serta mandat kepada semua calon BN di kawasan masing-masing.
Onn Hafiz turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Johor atas segala sokongan, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang hampir empat tahun beliau menerajui pentadbiran negeri.
“Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat esok, saya amat menghargai setiap sokongan, teguran, doa dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya serta kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT terus memberkati Bangsa Johor, memelihara kemakmuran negeri ini dan mengurniakan petunjuk kepada seluruh rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik pada hari pengundian.
Perutusan itu diakhiri dengan seruan kepada rakyat Johor supaya mengundi BN, di samping laungan “Hidup Barisan Nasional” serta doa agar institusi Kesultanan Johor terus dipelihara dan negeri itu sentiasa berada di bawah rahmat Allah SWT.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L