PAS Minta UMNO Hargai Keikhlasan Tawar Sokongan

Oleh NurFarhana Zulkeply

JOHOR BAHRU – PAS Johor mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak memandang ringan atau bersikap angkuh terhadap keikhlasan parti itu yang menawarkan sokongan bagi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, kesediaan PAS membantu Barisan Nasional (BN) sekiranya diperlukan bukan didorong kepentingan politik atau keinginan mendapatkan jawatan, sebaliknya demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.

Menurut beliau, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengarahkan penyokong PAS membantu calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PAS atau Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda kelemahan parti itu.

Sebaliknya, katanya, PAS mengambil pendekatan matang dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta kesinambungan kepimpinan Melayu-Islam berbanding kepentingan politik kepartian.

Mahfodz turut menegaskan PAS tidak pernah meminta untuk menyertai kerajaan negeri atau meletakkan sebarang syarat, termasuk menuntut jawatan Exco, sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan.

Kenyataan itu dibuat susulan pendirian Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan PAS tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya BN berjaya membentuk pentadbiran selepas PRN Johor.

Onn Hafiz turut menafikan dakwaan bahawa BN menawarkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan kepada PAS sebagai balasan kerana parti itu hanya bertanding di beberapa kerusi pada pilihan raya kali ini.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata arahan supaya penyokong PAS mengundi calon BN di kerusi tertentu dibuat berdasarkan pertimbangan lebih besar bagi memastikan kepimpinan Melayu-Islam terus memimpin Johor secara adil dan bertanggungjawab.

Beliau berharap keikhlasan PAS itu dihargai dan tidak disambut dengan sindiran atau kenyataan yang boleh menjejaskan semangat kerjasama demi kepentingan negeri.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *