Sistem bola sepak Brazil sudah rosak akibat rasuah – Anak sulung Pele

TORONTO – Sistem bola sepak Brazil kini berada dalam keadaan yang rosak dan tidak berfungsi dengan baik, dengan kekurangan ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam pentadbiran mencerminkan prestasi hambar pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Perkara itu dinyatakan aktivis dan penerbit filem, Kely Nascimento yang juga anak sulung legenda bola sepak Brazil, Pele, dalam satu temu bual bersama Reuters.

“Bola sepak Brazil sudah rosak. Sama ada disebabkan rasuah atau faktor lain, ia seperti sebuah ekosistem tertutup yang sukar ditembusi. 

“Semua orang tahu mengapa ia tidak berfungsi, tetapi tiada siapa mampu membetulkannya,” katanya.

Menurut Kely, Brazil masih terus melahirkan pemain berbakat besar, namun kegagalan mereka untuk bersaing di peringkat tertinggi dunia menunjukkan wujud masalah yang lebih mendalam dalam struktur pengurusan sukan itu.

Brazil tersingkir daripada Piala Dunia tahun ini selepas tewas 1-2 kepada Norway pada Ahad, sekali gus menyaksikan mereka gagal mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 1990. 

Kali terakhir skuad Selecao menjuarai Piala Dunia adalah pada 2002 iaitu gelaran kelima dan terakhir mereka setakat ini.

Kely berkata, mendiang bapanya telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai hala tuju bola sepak Brazil dan membandingkan kemerosotan yang dialami negaranya dengan negara seperti Perancis yang menurutnya berjaya membangunkan sistem lebih berkesan.

Beliau bagaimanapun melihat kebangkitan semula beberapa kelab tradisional Brazil hasil pelaburan asing sebagai perkembangan positif.

Antara contoh yang disebut ialah kebangkitan Botafogo di bawah kendalian ahli perniagaan Amerika Syarikat, John Textor.

Sejak memperoleh pegangan kawalan dalam kelab berpangkalan di Rio de Janeiro itu pada 2022, Textor berjaya membawa perubahan positif yang menyaksikan prestasi bekas juara Brazil itu semakin meningkat secara konsisten.

“Terdapat banyak kritikan terhadap cara beliau menguruskan kelab, tetapi setiap perkara ada sisi baik dan buruknya.

“Apa yang turut dibawanya ialah ketelusan. Beliau perlu bertanggungjawab kepada pihak luar. Bagi saya, itu sesuatu yang positif, tanpa mengira apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepadanya,” kata Kely. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *