Oleh: Abd. Ghaffar Daud

TUMPAT – Bengkel Lagu AI Siri 2 anjuran Galeri Pakdo yang berlangsung di Ruang Bengkel Mini Galeri Pakdo, Kampung Kok Pasir, dekat sini, kelmarin, sekali lagi berjaya mencungkil bakat dan kreativiti peserta dalam menghasilkan lagu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Bengkel yang dikendalikan oleh guru pembimbing, Ediramle Ismail merupakan kesinambungan kepada siri pertama yang telah diadakan pada 29 Jun lalu. Program tersebut memberi pendedahan secara praktikal mengenai proses menghasilkan lagu bermula daripada penulisan lirik, pemilihan melodi, susunan muzik sehinggalah kepada penghasilan lagu lengkap dengan bantuan AI.
Sepanjang bengkel yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu, Ediramle tekun membimbing setiap peserta langkah demi langkah sehingga berjaya menghasilkan beberapa buah lagu.

Beliau turut berkongsi pelbagai teknik dan kaedah terbaik bagi memastikan karya yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri walaupun menggunakan teknologi AI sebagai medium penciptaan.
Salah seorang peserta dari Rantau Panjang, Ismail Daud, berkata penyertaannya dalam bengkel itu amat berbaloi kerana berjaya menghasilkan dua buah lagu dalam tempoh yang singkat.
Menurutnya, lagu pertama merupakan adaptasi daripada sajak bertajuk “Sungai Yang Menangis” yang dinyanyikan oleh penyanyi lelaki, manakala lagu kedua bertajuk “Tangisan Sebuah Sungai” dipersembahkan dalam versi nyanyian wanita.
“Saya amat berpuas hati dengan bengkel ini. Bimbingan yang diberikan sangat jelas dan mudah difahami sehingga saya berjaya menyiapkan dua buah lagu. Ia benar-benar membuka ruang kepada saya untuk meneroka dunia penciptaan lagu menggunakan AI,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ediramle Ismail atas kesungguhan membimbing peserta sehingga mampu menghasilkan karya sendiri.
Bengkel yang disertai kumpulan kecil itu membuktikan bahawa teknologi AI mampu menjadi medium baharu dalam industri kreatif, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pencinta seni untuk merealisasikan idea dan imaginasi mereka menjadi karya muzik.
Program itu membawa tema “Muzik Lahir Dari Imaginasi, AI Membawa Ia Menjadi Realiti”, selaras dengan matlamat Galeri Pakdo untuk memperkasa penggunaan teknologi dalam bidang penciptaan lagu.
Sementara itu, Ediramle berkata beliau berhasrat untuk meneruskan penganjuran Bengkel Lagu AI siri-siri seterusnya sekiranya mendapat sambutan dan permintaan daripada peserta.
Menurutnya, bengkel tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan lagu, malah mampu melahirkan lebih ramai pencipta lirik dan komposer baharu yang kreatif.
Beliau berharap usaha itu dapat menjadi platform berterusan untuk memperkasa bakat seni tempatan serta memupuk minat masyarakat terhadap dunia penciptaan muzik berasaskan AI.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L