Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
PERMAINAN politik di Johor sedang memasuki fasa lebih kompleks berbanding beberapa tahun lalu. Jika dilihat pada angka semata-mata, setiap gabungan mempunyai naratif tersendiri.
Namun, pilihan raya adalah pertandingan momentum, persepsi, jentera dan kemampuan membawa penyokong keluar mengundi.
Melihat pilihan raya lepas, Pakatan Harapan (PH) masih memiliki jumlah undi popular terbesar, Barisan Nasional (BN) mengekalkan pangkalan penyokong yang stabil, manakala Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai parti yang mencatatkan pertumbuhan paling pantas.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PH memperoleh 803,100 undi pada PRU14 sebelum merosot kepada 410,600 undi ketika PRN Johor 2022 akibat kadar keluar mengundi yang rendah.
Apabila PRU15 berlangsung, PH kembali pulih dengan 816,400 undi, sekali gus membuktikan kekuatan sebenar parti itu masih bergantung kepada penyokong bandar yang keluar mengundi dalam jumlah besar.
BN pula membawa cerita yang berbeza.
Daripada 582,300 undi pada PRU 14 kepada 583,900 pada PRU15, pertumbuhan BN hanyalah sekitar 0.3 peratus. Angka itu mungkin kelihatan kecil, namun ia sebenarnya menggambarkan satu perkara penting iaitu pangkalan pengundi BN kekal setia.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ketika ramai parti mengalami turun naik yang besar, BN berjaya mengekalkan sokongan hampir pada paras yang sama dengan PRN Johor 2022 menjadi bukti paling jelas apabila BN memperoleh hampir 600,000 undi walaupun kadar keluar mengundi rendah.
Pengundi tradisional mereka tetap keluar mengundi tanpa mengira keadaan menunjukkan jentera akar umbi UMNO dan BN masih antara yang paling tersusun di Johor.
Namun begitu, kestabilan juga membawa persoalan.
Jika BN terus bergantung kepada pengundi sedia ada tanpa menambah sokongan baharu, ruang pertumbuhan parti itu akan menjadi semakin terhad.
Sebaliknya, PN merupakan parti yang mencatatkan perubahan paling dramatik.
Daripada hanya 118,600 undi pada PRU14, jumlah itu melonjak kepada 334,600 pada PRN Johor sebelum meningkat lagi kepada 506,700 pada PRU15.
Peningkatan lebih 327 peratus menjadikan PN sebagai gabungan yang paling berjaya menarik pengundi baharu dalam tempoh lima tahun.
Fenomena itu membuktikan PN bukan lagi sekadar kuasa ketiga, sebaliknya berjaya menembusi sebahagian kawasan yang sebelum ini menjadi gelanggang tradisi BN.
Persoalannya kini ialah sama ada momentum tersebut masih mampu dikekalkan menjelang PRN Johor Ke-16.
Pertama, pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi BN kelebihan sebagai parti yang memegang kuasa menjadikan prestasi pembangunan negeri, pelaburan, peluang pekerjaan dan kestabilan pentadbiran dijangka menjadi modal utama kempen.
Selain itu, isu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut dijangka menjadi salah satu naratif kempen, khususnya dalam kalangan penyokong BN.
Terdapat pihak yang cuba mengaitkan kemenangan besar BN dalam PRN Johor dengan kemungkinan pembebasan Najib Razak namun naratif tersebut telah ditepis oleh beberapa pemimpin UMNO yang menjelaskan bahawa kemenangan pilihan raya tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan hukuman mahkamah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini menegaskan bahawa sebarang perubahan terhadap hukuman hanya tertakluk kepada proses undang-undang dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Bagi BN, bagi memastikan undi Melayu tidak berpecah kepada PN dan bagi PH pula, mereka memerlukan sokongan kuat untuk mempertahankan kawasan bandar yang sebelum ini menjadi kubu utama mereka.
Kedua, cabaran lebih besar apabila Pakatan Harapan (PH) tampil dengan kempen lebih agresif termasuk kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri ceramah dan program kempen.
Kehadiran pemimpin utama negara itu memberi isyarat bahawa PH melihat PRN Johor sebagai peluang strategik untuk mencabar dominasi BN dan membentuk kerajaan negeri.
Ketiga, PN pula berdepan cabaran mengekalkan momentum selepas beberapa isu dalaman yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap persepsi pengundi.
Dalam masa yang sama, kemasukan pengundi muda dan Undi18 terus menjadi faktor paling sukar diramal.
Generasi ini tidak lagi terikat kepada kesetiaan tradisional terhadap mana-mana parti dan lebih cenderung menilai tawaran pekerjaan, kos sara hidup, peluang ekonomi dan prestasi pentadbiran semasa.
Dari sudut geografi pula, corak politik Johor masih memperlihatkan pembahagian yang jelas.
Kawasan bandar seperti Johor Bahru, Skudai dan Stulang terus menjadi kubu utama PH.
Kawasan luar bandar termasuk Tenggara, Kota Tinggi, Pontian dan Benut pula kekal sebagai kekuatan tradisi BN yang disokong rangkaian UMNO di peringkat cawangan dan pusat daerah mengundi.
Sementara itu, kawasan separa bandar seperti Tebrau, Kempas, Pulai dan Pasir Gudang dijangka menjadi medan sebenar penentuan kerajaan kerana mempunyai komposisi pengundi yang lebih bercampur dan mudah berubah.
Melihat kepada trend semasa, BN dilihat memasuki PRN Johor Ke-16 sebagai gabungan yang mempunyai kelebihan relatif.
Jika prestasi kerajaan negeri terus diterima baik dan kadar keluar mengundi sederhana, BN berpotensi mengekalkan majoriti yang selesa.
PH pula dijangka kekal menguasai sebahagian besar kerusi bandar.
Namun, undi awal kali ini juga membuka ruang kepada parti lain mencipta kejutan.
Pengundi awal bukan lagi dianggap hanya tertumpu kepada BN kerana mereka turut mempunyai pilihan kepada calon daripada Perikatan Nasional (PN) yang cuba memperluaskan pengaruh selepas mencatatkan peningkatan sokongan besar pada PRU15.
Isu kos sara hidup, identiti Melayu-Islam serta sentimen terhadap kerajaan semasa berpotensi menjadi faktor yang mendorong sebahagian pengundi memilih PN sebagai undi protes.
PN masih mempunyai peluang mencipta kejutan di beberapa kerusi Melayu yang kompetitif, tetapi perlu membuktikan bahawa lonjakan sokongan pada PRU15 bukan sekadar fenomena sementara.
24,751 undi awal ini menjadi ujian pertama kepada kekuatan BN mempertahankan Johor, kemampuan PH mencabar kerajaan negeri serta usaha PN membuktikan dirinya sebagai kuasa politik yang semakin berkembang.
Akhirnya, keputusan PRN Johor bukan hanya ditentukan oleh siapa mempunyai penyokong paling ramai, tetapi siapa yang paling berjaya menggerakkan penyokong ke pusat mengundi.
Dalam politik Johor hari ini, disiplin mengundi jauh lebih penting daripada populariti.
Angka memberikan petunjuk, tetapi pengundi tetap menjadi penentu sebenar.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
