Tok Mat Tolak Cadangan Debat Onn Hafiz-Maszlee

Oleh NurFarhana Zulkeply

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menolak cadangan mengadakan debat antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak membawa manfaat kepada pengundi.

Menurut beliau, tempoh kempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu rakyat dan menyantuni pengundi, bukannya dihabiskan dengan perdebatan politik.

Mohamad berkata, rakyat Johor lebih memerlukan pemimpin yang bekerja dan menyelesaikan masalah mereka berbanding calon yang hanya menonjolkan keupayaan berpidato di pentas dialog.

Katanya, keputusan akhir tetap berada di tangan pengundi yang akan membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatan, keikhlasan serta kemampuan calon dalam membawa pembangunan kepada kawasan masing-masing.

Pendirian itu turut disokong oleh Onn Hafiz yang menegaskan beliau tidak mempunyai keperluan untuk menyertai dialog bersama Maszlee kerana kedua-duanya bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berbeza.

Menurut beliau, Maszlee bertanding di DUN Puteri Wangsa manakala beliau mempertahankan kerusi DUN Machap, justeru setiap calon seharusnya memberi tumpuan kepada kawasan sendiri serta mendekati pengundi yang bakal menentukan keputusan pilihan raya.

Dalam masa sama, Mohamad optimis gerak kerja BN berada pada landasan terbaik dengan kekuatan jentera akar umbi UMNO yang disifatkannya tersusun, berpengalaman dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran kempen.

Beliau turut menyeru seluruh jentera BN terus menggandakan usaha sehingga hari terakhir kempen bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat disantuni serta diyakinkan bahawa BN kekal sebagai pilihan yang mampu menjamin kestabilan dan kesinambungan pembangunan Johor.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *